Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia tolak permintaan Bangladesh untuk 2,000 agensi bawa masuk pekerja

Malaysia menolak permintaan Bangladesh agar 2,000 agensi pekerjaannya dibenarkan menghantar pekerja ke negara ini, menurut Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Bercakap dengan pemberita di Kuala Lumpur, Saravanan berkata permintaan itu akan menyebabkan Malaysia menjadi "tempat lambakan" pekerja asing.

"Kita telah berbincang hampir setahun dari segi pelbagai tindakan. Contohnya sebelum ini ada 10 syarikat (di Bangladesh) boleh bawa masuk pekerja ke Malaysia.

"Saya percaya (jumlah itu) perlu diperluaskan kepada lebih 10 namun permintaan dari Bangladesh untuk 2,000 agensi, saya tidak setuju," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa (2021-2025).

"Jika ada 2,000 agensi hendak hantar pekerja asing, Malaysia boleh jadi 'dumping ground'.

"Kita tidak akan dapat memantaunya," katanya lagi.

Kata Saravanan lagi, perbincangan dua hala yang berjalan selama hampir setahun selesai dengan kedua-dua kerajaan mencapai persetujuan dalam beberapa dasar.

"Keputusan muktamad akan dibuat apabil kita bawa perkara ini ke kabinet," katanya lagi.

Ketika di bawah pentadbiran PH, kerajaan pada 1 September 2018 menggantung Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) untuk pekerja Bangladesh - yang sebelumnya membolehkan pengambilan pekerja dibuat menerusi 10 agensi terpilih.

Rundingan untuk terma pengambilan yang baru diketuai menteri sumber manusia ketika itu, M Kulasegeran tertangguh beberapa kali, sehinggalah kerajaan PH runtuh.

Dalam sistem terdahulu, setiap pekerja warga Bangladesh perlu mengeluarkan wang sehingga RM20,000 untuk membayar ejen bagi memudahkan kelulusan permit kerja serta keperluan lain di Malaysia.

Dalam pada itu, Saravanan berkata kementeriannya sedang menunggu makluman daripada syarikat peralatan rumah, Dyson.

Ia berkenaan langkah syarikat itu untuk menamatkan hubungannya dengan pembekal ATA IMS Bhd susulan dakwaaan amalan buruh paksa.

"Saya sedang tunggu laporan daripada syarikat kerana saya dengan dua cerita dari pihak berbeza.

"Ada tiga jenis cerita - cerita saya, cerita anda, cerita sebenar. Sekarang saya dengar daripada satu pihak, dan sedang menunggu cerita daripada Dyson," katanya lagi.

Dia diminta mengulas langkah tersebut yang diumumkan selepas siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat terhadap ATA, sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Johor Bahru.

Hari ini ATA menafikan dakwaan mengamalkan buruh paksa, dan mendakwa siasatan bebas yang dijalankannya berhubung dakwaan yang seorang pekerja didera secara fizikal mendapati ia tidak berlaku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS