Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abang Johari: Bersatu belum jemput GPS bincang PRN Sarawak

Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum menerima sebarang jemputan daripada Bersatu bagi membincangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg berkata dia perlu meneliti jemputan itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya tidak tahu (mengenai perbincangan itu). Kita tengoklah nanti, jika ada jemputan, apa tujuan perbincangan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kabong, Betong hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan parti komponen Perikatan Nasional dan GPS untuk menentukan strategi serta persiapan menghadapi PRN Sarawak.

Ketika ditanya jika Bersatu meletakkan calonnya pada PRN Sarawak, Abang Johari berkata itu hak mereka namun GPS kekal dengan keputusan untuk bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Biarlah mereka (Bersatu) tetapi kita (GPS) tetap dengan keputusan kita,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada 6 Disember, pengundian awal pada 14 Disember dan pengundian pada 18 Disember.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS