Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH soal AG: Kenapa Tajuddin belum didakwa?
Diterbitkan:  Nov 26, 2021 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Pakatan Harapan (PH) menggesa Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan mengapa Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman belum didakwa atas tuduhan salah guna kuasa.

SPRM pada Mei menyiasat Tajuddin atas dakwaan salah guna kuasa semasa menjadi pengerusi Prasarana.

"Kegagalan Peguam Negara mengambil tindakan dalam kes ini selepas 6 bulan telah berlalu jelas menunjukkan bahawa beliau sendiri menyalahgunakan kuasanya dengan melakukan pendakwaan berpilih yang bermotif politik," kata majlis presiden PH dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka menambah bahawa dengan Tajuddin dijangka menjadi duta Malaysia ke Indonesia tahun depan, kes itu boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap negara.

"Adakah penghormatan tertinggi diberikan kepada sebuah negara jiran penting apabila Malaysia melantik seorang Duta Besar yang pernah ditahan kerajaan sendiri atas dakwaan salah guna kuasa?" kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu ditandatangani oleh pemimpin PH, Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP), dan Wilfred Madius Tangau (Upko).

Siasatan SPRM dimulakan selepas timbul dakwaan bahawa Tajuddin sedang cuba campur tangan dalam projek yang melibatkan syarikat berkaitan keluarga.

Tajuddin berkata projek Latitud 8 di Dang Wangi, Kuala Lumpur telah diberikan kepada Intan Sekitar Sdn Bhd pada 2012 melalui tender terbuka, lama sebelum dia menjadi pengerusi Prasarana.

Intan Sekitar Sdn Bhd, yang 51 peratus dimiliki oleh Crest Builder Holdings Berhad, adalah 49 peratus dimiliki oleh Detik Utuh Sdn Bhd.

Keluarga Tajuddin mempunyai 40 peratus pegangan dalam Detik Utuh Sdn Bhd menerusi Tindakan Juara Sdn Bhd memberikan mereka pegangan berkesan sebanyak 19.6 peratus dalam projek itu.

Syarikat itu menjadi perhatian berikutan laporan bahawa lembaga Prasarana sedang mempertimbangkan untuk menamatkan projek itu dengan membayar RM80 juta kepada Intan Sekitar.

Tajuddin telah dipecat sebagai pengerusi Prasarana pada Mei berikutan sidang media mengenai perlanggaran LRT Kelana Jaya pada 24 Mei, yang mengundang kecaman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS