Tiada kepastian yang memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani Pakatan Harapan (PH) dengan Putrajaya akan bertahan sehingga Julai tahun depan, kata Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut ketua Pemuda Umno itu, PH kelihatan tidak serius mahu mempertahankan MOU berkenaan dengan tindakan gabungan terbabit membenarkan kerajaan BN-Perikatan Nasional (PN) Melaka jatuh pada awal Okt lalu.
"Kita tidak tahu bahawa MOU itu benar-benar dapat dipastikan (bertahan) sehingga bulan tujuh (Julai) atau tidak.
"(Hal itu kerana) Kita dapat lihat di pilihan raya negeri (PRN) Melaka umpamanya, walaupun MOU telah dimeterai di antara kerajaan persekutuan dan PH, tetapi kerajaan Melaka runtuh juga," katanya dalam program bual bicara disiarkan Astro Awani malam tadi.
Ia turut dihadiri Ketua Pemuda PH, Howard Lee yang juga Adun Pasir Pinji, Perak.
Menurut Asyraf Wajdi kerajaan Melaka itu runtuh selepas PH berjanji untuk menyokong Idris Haron menjadi ketua menteri di sebalik kedudukan Adun itu sebagai anggota Umno.
Atas sebab itulah, dakwa Asyraf Wajdi, kerajaan Melaka jatuh dan membawa kepada PRN di negeri itu.
"Kalau benar MOU itu dipatuhi dan dihormati, saya kira tidak timbul soal PRN Melaka walaupun ada empat orang keluar dari kerajaan neger," katanya.
Sudah dihukum di Melaka
Untuk rekod MOU di antara PH dan kerajaan pusat itu ditandatangani pada 14 Sept lalu dengan menggariskan beberapa ikrar daripada kedua-dua pihak.
Antaranya ialah kerajaan berjanji untuk tidak membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum (PRU) sekurang-kurangnya sehingga 21 Julai 2022 bagi memberi ruang kepada pelaksanaan pelbagai pembaharuan dituntut PH.
Sebagai balasan PH tidak akan menyekat sebarang agenda utama kerajaan.
Dalam PRN Melaka pada 20 Nov lalu, BN mencatat kemenangan besar dengan memengani 21 daripada 28 kerusi DUN manakala PH hanya mempertahankan lima kerusi mereka.
Dua lagi kerusi dimenangi PN.
Sementara itu Lee berkata kerjasama yang dimeterai itu terlaksana di peringkat pusat dan membabitkan tatakelola kerajaan persekutuan.
Jika MOU itu dianggap terbatal, katanya, mengapa Putrajaya tidak mengisytiharkannya berakhir.
"Maka dengan itu cukup untuk saya katakan agar lebih baik kita melihat ke hadapan," katanya.
Lee menambah BN juga dilihat cuba mengelak daripada menunaikan janji mereka dalam MOU tersebut walaupun ia sudah dipersetujui bersama dengan mendesak agar PRU diadakan segera.
Menurutnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak mahu melihat satu lagi pilihan raya diadakan semasa pandemik Covid-19.
Menurut ketua Pemuda DAP itu lagi akta antilompat parti yang dijanjikan kerajaan dalam MOU berkenaan sepatutnya diluluskan terlebih dulu di parlimen sebelum PRU diadakan.
Ditanya sama ada PH bersikap hipokrit kerana mendesak akta antilompat parti tetapi pada masa sama menerima Idris dan Nor Azman Hassan sebagai calon mereka di Melaka baru-baru ini, Lee berkata: "Ada sedikit."
"Ada sedikit, saya mengaku.
"Saya di sini punya dua topi, (satu) kena pakai ketua Pemuda PH, satu lagi ketua Pemuda DAP kebangsaan," katanya.
Menurut Lee lagi Idris dan Nor Azman memang tidak sepatutnya diambil sebagai calon PH dan ketetapan itu tidak dipersetujui oleh DAP, namun parti itu tertakluk kepada prinsip demokrasi.
Apabila ada dua daripada tiga parti bersetuju, DAP terpaksa akur.
"Parti saya (DAP) telah menolak tapi terpaksa menerima keputusan berjemaah, dan akhirnya kita tengok rakyat Melaka dah buat keputusan, hukuman telah dikenakan sama ada kepada kedua-dua mereka atau PH," katanya.