Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Indeks Pelopor Malaysia pulih 0.6 peratus pada Sept
Diterbitkan:  Nov 25, 2021 12:47 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Malaysia menjangkakan prospek ekonomi lebih baik dalam tempoh terdekat, apabila Indeks Pelopor (IP) pulih 0.6 peratus tahun ke tahun kepada 110.5 mata pada September 2021 berbanding 109.8 mata pada bulan sama 2020, selepas susut 2.3 peratus pada Ogos 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada September 2021, IP pulih berikutan kelonggaran aktiviti ekonomi seiring dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Peningkatan IP disokong terutama oleh kenaikan dalam import benar semikonduktor yang dipacu oleh permintaan litar bersepadu elektronik yang menggalakkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata IP terus berkembang kepada 4.0 peratus berdasarkan perbandingan bulanan berbanding 1.1 peratus pada Ogos 2021, disokong secara signifikan oleh prestasi lebih baik dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain yang meningkat 1.6 peratus serta import benar semikonduktor (1.1 peratus).

Mengenai prestasi Indeks Serentak (IS), yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik dengan mencatatkan 0.3 peratus pada September 2021 daripada penurunan 1.6 peratus yang direkodkan pada Ogos 2021.

Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS meningkat 3.9 peratus pada bulan tersebut disokong oleh kesemua komponen IS dengan positif terbesar daripada indeks kuantiti perdagangan runcit (1.5 peratus).

DOSM menjelaskan, dalam melangkah ke hadapan, pengumuman Bajet 2022 bercirikan pengembangan dengan tema ‘Keluarga Malaysia Sejahtera’ dijangka mengurangkan tekanan ekonomi dan memacu pertumbuhan ekonomi ke landasan yang betul.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS