Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Inisiatif i-Sayang yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Selasa akan membolehkan pemindahan dua peratus caruman daripada akaun suami ke akaun isteri.

Inisiatif itu belum mempunyai perincian mendalam, menyebabkan rata-rata orang masih belum jelas mengenai pelaksanaannya yang akan bermula pada suku pertama 2022 itu.

Meskipun ada di kalangan orang ramai yang menyambut baik, ada juga yang melihatnya negatif, bahkan tidak kurang juga yang melihat penggunaan tabung simpanan persaraan sebagai sesuatu yang membimbangkan.

Kebimbangan itu antaranya disuarakan seorang pensyarah, Mohd Khalil Sreedaran Abdullah, 53.

“Saya tidak pasti (nak sokong atau tidak).

“KWSP sebelum ini telah mengeluarkan pelbagai inisiatif - seolah-olah menjadi satu trend yang akan mengurangkan simpanan rakyat dan akhirnya duit itu sendiri akan dikeluarkan oleh rakyat sendiri.

“Ini akan menyebabkan simpanan mereka semakin terhakis dan mengurang,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagi jurutera Abu Bakar Adham, 34, secara peribadi, dia tidak melihat signifikan caruman sedemikian yang hanya dipindahkan daripada tabung persaraan suami kepada tabung persaraan isteri.

“Kalau suami meninggal dia letak isteri sebagai penama. (Bukankah) Dapat juga merasa duit dari sumber sama?” soalnya.

“Saya letak isteri saya 100 peratus sebagai penama,” tambahnya.

'Bagaimana kalau bercerai?'

Bagi lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Blake, 30, inisiatif itu merupakan usaha yang 'sumbang' oleh kerajaan, memandangkan ia tidak melibatkan pertambahan pendapatan kepada isi rumah, sebaliknya hanya menggunakan wang pencarum.

“Kerajaan perlu kaji bagaimana usaha ini akan memberi kesan kepada pasangan yang bercerai, dan melaksanakan undang-undang dan peraturan mengenainya.

“Malaysia mempunyai kadar perceraian yang tinggi. Untuk pasangan malang yang bercerai, ia boleh menyebabkan penyesalan pula berkenaan sumbangan kepada akaun isteri (apabila bercerai),” kata pekerja industri kewangan itu.

Masih bujang, Blake bagaimanapun mengaku dia tidak kisah memberikan sumbangan caruman dua peratus kepada akaun bakal isterinya apabila sudah berkahwin nanti.

Hasni Meon, 47 pula memberitahu yang dia tidak akan menggunakan kemudahan i-Sayang kerana tidak nampak bagaimana ia dapat membantu mengurangkan beban isi rumah.

Tambahnya, lainlah sekiranya i-Sayang membolehkan isteri mengeluarkan wang yang diberikan suami seperti kemudahan mesin teler automatik (ATM) untuk dibelanjakan, yang pasti dapat meringankan beban berbelanja setiap bulan.

Bantu suri rumah

Bagi isteri yang bekerja, inisiatif itu tidak begitu memberikan kesan buat mereka, namun mengakui ia memberikan keuntungan yang baik buat golongan suri rumah, terutamanya sebagai simpanan untuk kos-kos kesihatan isteri di hari tua nanti.

“Tidak rasanya (menggunakan kemudahan i-Sayang), sebab saya pun bekerja.

“Tapi saya rasa skim ini dapat menolong isteri yang tiada pekerjaan sebagai simpanan di hari tua kelak,” kata Azira Azlin, 37, seorang pensyarah.

Hal itu turut dipersetujui pegawai bantuan teknikal teknologi maklumat, Nur Rashidah Md Salleh, yang menyambut baik jika i-Sayang dimanfaatkan buat suri rumah yang rata-ratanya tidak mempunyai pendapatan.

Masih harap dapat keluar KWSP

Namun, ada juga yang berpandangan i-Sayang merupakan usaha yang tidak membantu golongan yang memerlukan dalam musim wabak yang memberi kesan ekonomi kepada sebahagian rakyat.

Sebaliknya, seorang bapa anak tiga yang hanya mahu dikenali sebagai Sarbini, 43, masih berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada akaun KWSP secara sekali.

Katanya, dalam keadaan dirinya yang kehilangan kerja sebagai pegawai keselamatan sejak hampir setahun lalu, ditimpa pula masalah kesihatan yang memerlukannya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan, pemindahan 2 peratus caruan ke akaun isteri bukanlah satu hal yang dia perlukan buat masa ini.

“Saya memang perlukan tunai untuk langsaikan hutang-hutang, bil tertunggak, anak-anak lagi, untuk simpanan lagi, sebab pada masa ini simpanan saya sesen pun tak ada, dengan keadaan yang sakit, kos harian yang semakin naik.

“Buat masa ini, nak beli makan pun kena korek tabung, sampai menitis air mata tengok muka anak-anak saya,” katanya yang menderitai sakit kaki bengkak dan bernanah.

Buat masa ini, katanya, isterinya yang bekerja di kedai makan juga tidak sihat kerana mengalami ketumbuhan. Justeru dia berharap agar dapat menggunakan wang simpanan KWSP hasil penat lelahnya untuk meringankan beban yang ditanggung.

“Saya tak nak bebankan isteri saya. Saya kasihankan isteri saya dan sayangkan isteri saya. Dia pun tak sihat juga," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS