Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar: K'jaan tak diwajibkan beri rumah, tanah pada bekas PM
Diterbitkan:  Nov 24, 2021 5:46 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Bekas perdana menteri, Najib Razak berulang kali mendakwa permohonannya untuk mendapatkan tanah dan kediaman daripada kerajaan adalah "hak" di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak begitu tepat menurut pakar undang-undang yang dihubungi Malaysiakini.

Seksyen 21 akta itu hanya menetapkan bahawa bekas perdana menteri berhak mendapat keistimewaan tertentu seperti yang ditetapkan oleh kabinet, tetapi tidak menyatakan apa bentuknya.

Najib mendakwa dia layak mendapatkan rumah berdasarkan keputusan kabinet pada 2003, tetapi pakar mengatakan di bawah akta itu, imbuhan tidak semestinya dalam bentuk kediaman.

Mereka yang bercakap dengan Malaysiakini termasuk peguam New Sin Yew, Haniff Khatri, naib presiden pro-tem Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Lim Wei Jiet, dan Hannah Yeoh serta Syahredzan Johan dari DAP yang kesemuanya mempunyai latar belakang undang-undang.

Sebaliknya, ditanya sama ada kabinet secara teorinya boleh memutuskan bahawa seorang bekas perdana menteri berhak mendapat hidangan 'happy meal' daripada restoran makanan segera McDonalds, mereka yang bercakap dengan Malaysiakini mengiayakannya.

"Betul, ia mengikut budi bicara kabinet. Happy Meal pun begitu, (walaupun) saya fikir dua kali untuk memberinya (Najib) Happy Meal," kata Yeoh, yang juga Ahli Parlimen Segambut.

Menjelaskan lebih lanjut, Lim dan Syahredzan berkata keputusan kabinet berhubung imbuhan terhadap bekas perdana menteri boleh dianggap sebagai dasar kerajaan.

Ini, kata Syahredzan, memberi kelonggaran kepada kabinet, malah juga budi bicara untuk membatalkan keputusan tersebut.

“Akta itu memang memperuntukkan 'sesuatu' sebagai hak untuk semua perdana menteri bahawa sesuatu itu akan ditentukan oleh kabinet

"Kabinet boleh membatalkan keputusan kabinet sebelum ini yang memberikan semua itu," katanya.

'Kabinet perlu jelaskan keputusan'

Haniff pula berpendapat kabinet juga boleh mengambil kira kes jenayah melibatkan seseorang bekas perdana menteri.

"Ia tertakluk kepada peraturan juga. Walaupun akta itu membenarkan imbuhan, kabinet terikat untuk memutuskan sama ada untuk memberikannya jika seseorang itu tidak tercemar dengan sebarang pertuduhan jenayah atau pun sabitan.

“Ia bukan automatik,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini berkata kabinet secara dasarnya bersetuju dengan permohonan Najib mendapatkan rumah dan tanah, tetapi masih tertakluk kepada perbincangan lanjut.

Wan Junaidi berkata keputusan itu dibuat kerana ia adalah "hak" Najib di bawah undang-undang.

New berkata dari segi tadbir urus yang baik, kabinet perlu menjelaskan alasan mereka.

“Seperti semua keputusan undang-undang yang lain, kabinet perlu menjelaskan mengapa mereka kini membuat keputusan mengikut cara yang mereka lakukan.

"Jika nantinya keputusan dibuat untuk membatalkan ganjaran atau faedah tersebut. Kabinet hanya perlu berbuat demikian dengan alasan yang kukuh," katanya.

Najib telah menarik balik permohonannya untuk mendapatkan rumah dan sebidang tanah yang dilaporkan bernilai RM100 juta.

Dia sebaliknya meminta kerajaan menjual tanah dan kediaman tersebut serta menggunakan hasil jualannya bagi dibelanjakan untuk rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS