pendapat
Barisan pembangkang telah wujud di negara ini sejak sebelum merdeka lagi. Ketika itu badan politik di Malaya bersatu menentang penjajahan British dan Jepun. Yang menjadi isu pokok ialah bagaimana mahu menyatukan rakyat dan menentang kuasa asing bagi mencapai kemerdekaan.Selepas merdeka, wujud barisan pembangkang yang dipanggil Barisan Sosialis, terdiri daripada Parti Rakyat Malaya, Parti Buruh Malaya dan Parti Perhimpunan Kebangsaan. Barisan pembangkang ini memberi saingan terhadap Parti Perikatan yang memerintah yang didokong oleh gabungan tiga parti -- Umno, MCA dan MIC.
Barisan Sosialis itu memperjuangkan isu mewujudkan keadilan sosial dalam sebuah negara Malaya yang demokratik, bebas dan bersatu. Ia juga membawa politik kiri atau sosialis, manakala Perikatan yang pro-Barat dianggap kanan dan kapitalis.
Barisan menentang penjajahan British dipatahkan dengan penggunaan undang-undang Darurat dan kekuatan bersenjata. Ramai ditangkap dan dipenjara dan ramai juga yang dibunuh. Selepas merdeka, undang-undang darurat itu diubah menjadi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Barisan Sosialis telah dipatahkan oleh Perikatan pada akhir tahun 50-an dan awal 60-an, sama ada di dalam Parlimen atau di luar Parlimen, dengan menggunakan cara yang sama dipakai oleh penjajah British.
Pada tahun 1963, ramai pemimpin Barisan Sosialis ditahan di bawah ISA. Malah Parti Buruh Malaya hampir lumpuh, bukan sahaja kerana ramai pemimpinnya ditahan di bawah ISA tetapi juga kerana parti itu telah disusupi oleh agen-agen Cawangan Khas. Parti Buruh mengambil keputusan dibubarkan tetapi Parti Rakyat meneruskan perjuangan walaupun Ahmad Boestamam, Tajuddin Kahar dan ramai lagi pemimpin Parti Rakyat ditahan di bawah ISA.
Tidak bersetuju berkerjasama
Sejak tumbangnya Barisan Sosialis, kerajaan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) berkuasa di Malaysia dari tahun 1970 hingga 1990 tanpa dicabar oleh sebarang gabungan pembangkang. Naman begitu pada 1986, satu usaha digerakkan menjelang pilihanraya umum pada tahun yang sama untuk mewujudkan barisan pembangkang.