Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib pula hentam Mahathir isu tanah Langkawi
Diterbitkan:  Nov 24, 2021 1:11 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Dua bekas perdana menteri terus bertelagah dalam isu ganjaran kerajaan terhadap pemegang jawatan itu.

Selepas diasak bertubi-tubi dalam isu permohonan hartanah mewah kerajaan, Najib Razak hari ini membalas serangan Dr Mahathir Mohamad.

Najib membangkitkan dakwaaan tawaran pajakan tanah 34 ekar di Langkawi semasa anaknya Mukhriz menjadi menteri besar Kedah.

Najib juga mendakwa Mukhriz mendapat lesen pembalakan untuk kawasan 100 hektar di Sarawak pada 1994.

Berkaitan tanah di Langkawi, Najib mendakwa pajakan 60 tahun diberikan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Mahathir menjadi penasihat Lada daripada tahun 2003 hingga 2016.

“Tak adalah saya ‘bayar’ kerajaan untuk dapat tanah tepi pantai seluas 34 ekar di Langkawi untuk tempoh 60 tahun dengan harga pajakan RM3,200 setahun seperti dia.

“(Masa tawaran tanah Langkawi ini diberi, anak kamu MB Kedah. Betul?),” katanya.

Najib memuat dokumen didakwa surat tawatan pajakan itu serta surat penghargaan daripada Mukhriz berkaitan kelulusan pembalakan itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen itu.

Berkaitan permohonannya sebelum ini, Najib berkata ketika memohon dia tidak meminta kerajaan menbayar RM100 juta untuk membeli hartanan itu atau diberitahu nilainya.

Najib menarik permohonan itu sehari sebelum pilihan raya negeri Melaka, Sabtu lepas.

Dia berkata selepas sembilan tahun berkhidmat sebagai perdana menteri, dia menaikkan nilai simpanan negara dari RM800 bilion kepada RM2 trillion.

“Dana sekurang-kurangnya RM642 juta yang saya terima dari Kementerian Kewangan Arab Saudi secara peribadi seperti disahkan mahkamah, saya juga memberinya sepenuhnya untuk kerja CSR (tanggungjawab sosial) dan program-program rakyat” katanya.

Dia juga mencabar Mahathir mendedahkan jika dia atau keluarga pernah menerima apa-apa tanah daripada kerajaan.

“...sila Atok dedahkan,” kata Najib, menyindir musuh politiknya yang berusia lebih 90 tahun itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS