Pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan berlangsung pada 18 Disember, dengan pengundian awal ditetapkan pada 14 Disember, kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember, katanya pada sidang media di Kuching hari ini.
Dewan Undangan Negeri dibubarkan secara automatik pada 7 Jun lalu berikutan tamat tempohnya, tetapi pilihan raya negeri digantung kerana darurat diisytiharkan di seluruh negara untuk memerangi penularan Covid-19.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Januari sehingga 1 Ogos.
Bagaimanapun, setelah ditarik balik pada 1 Ogos, darurat setempat pula telah diisytiharkan untuk Sarawak dari 2 Ogos hingga 2 Februari 2022. Ini kemudian ditarik balik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 3 November lalu.
Ia membuka jalan kepada PRN-12 Sarawak yang telah sekian lama tertangguh, yang kini mesti diadakan dalam tempoh 60 hari mulai 3 November lalu.
DUN Sarawak mempunyai 82 kerusi.
Pada sidang media itu, Abdul Ghani berkata, seramai 1,252,014 orang pengundi di negeri itu layak mengundi dalam PRN-12 dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.
Sebanyak 1,866 pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.
"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta," katanya.
Abdul Ghani juga berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, 17 Disember.
Dia berkata SPR turut menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dalam PRN kali ini.
“Pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR pengundi.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
“Semakan boleh dibuat mulai 1 Dis 2021,” katanya.
Permohonan untuk mengundi secara pos pula boleh dilakukan melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my.
Pemohon dinasihatkan agar memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.