Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar ingatkan sekutu jangan sampai dilihat angkuh beri pandangan
Diterbitkan:  Nov 24, 2021 9:20 AM
Dikemaskini: 1:20 AM

Anwar Ibrahim mengingatkan sekutunya agar tidak sampai dilihat angkuh dalam memberi pandangan.

Anwar berkata demikian sebagai merujuk gesaan berundur terhadapnya berikutan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka  baru-baru ini.

Sambil mengakui semua pandangan akan diambil kira, Anwar mengingatkan ahli sekutu PH bahawa pendapat sedemikian boleh mengundang reaksi negatif.

"Itu pandanganlah (desakan letak jawatan). Kita teliti juga tetapi kita beri peringatan jangan nampak pandangan itu dilihat agak angkuh sehingga menimbulkan reaksi tidak baik dalam kalangan lain,” katanya kepada media pada satu program di Bangi semalam.

Anwar menjawab Adun Bilut Lee Chin Chen dari DAP dan beberapa orang lain yang menggesa dia berundur sebagai ketua pembangkang dan membantu generasi baru.

Anwar berkata dia akan bertanggungjawab ke atas prestasi PH dalam PRN Melaka baru-baru ini, sambil menambah bahawa kekalahan pembangkang mesti dianalisis dalam semua aspek.

"Kena lihat semua aspek kerana ia tak semudah itu. Kita jumpa di kampung macam mana pandangan orang lain, jumpa di bandar, masyarakat Cina, India, Orang Asli dan Melayu majoriti ada beberapa kegelisahan dia perlu dengar,” katanya dipetik The Star.

Keputusan untuk meletakkan bekas ketua menteri Idris Haron dan Nor Azman Hassan sebagai calon PH dibuat oleh PH Melaka, kata Anwar, yang juga pengerusi PH dan presiden PKR.

“Mereka yakin ini adalah cara untuk mengembalikan mandat kepada Pakatan.

“Terdapat banyak kesempatan apabila pemimpin PH di negeri ini merayu supaya kami bersetuju dengan penyertaan empat mereka untuk mengembalikan mandat kepada PH.

“Mohamad Sabu (Presiden Amanah) tidak bersetuju... Tetapi selepas beberapa siri mesyuarat, kami dipujuk, jadi dari satu segi, saya tidak boleh lari daripada tanggungjawab itu,” katanya.

Sebuah jawatankuasa bebas akan menelitik keputusan PH.

"Kami mahu mendengar pandangan bebas mengenai keputusan kami," tambahnya.

Pada PRN 20 Nov lalu, PH hanya berjaya memperoleh lima daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan. PKR pimpinan Anwar kalah kesemua 11 kerusi yang ditandinginya.

BN pula memenangi 21 kerusi dan memperoleh majoriti dua pertiga. Bersatu hanya menang dua kerusi manakala rakan gabungan dalam PN iaitu PAS dan Gerakan gagal meraih sebarang kerusi.

Pemimpin PKR membidas sekutunya kerana menuding jari pada diri Anwar apabila PH harus bertanggungjawab secara kolektif terhadap keputusan yang dibuat oleh pakatan pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS