Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
47 lagi korban Covid-19, jumlah keseluruhan 30,110
Diterbitkan:  Nov 24, 2021 8:24 AM
Dikemaskini: 12:24 AM

Repositori data Github Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 47 kematian akibat Covid-19 semalam (23 Nov), menjadikan jumlah kumulatif kematian kepada 30,110.

Malaysia mempunyai jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 913 kematian bagi setiap 1 juta penduduk, dan keempat terburuk di Asia selepas Iran, Lubnan dan Jordan – semuanya di Timur Tengah.

Daripada jumlah kematian yang baru dilaporkan semalam, 21.3 peratus atau 10 meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Kelantan mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu 8, atau 17 peratus daripada kematian baru yang dilaporkan.

Kes kematian selrbihnya di Sabah (7), Melaka (5), Selangor (5), Johor (4), Pulau Pinang (4), Sarawak (4), Kedah (3), Pahang (3), Terengganu (2), Perak (1) dan Kuala Lumpur (1).

Tiada kematian baru dilaporkan di Negeri Sembilan, Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 46 daripada 47 kematian yang dilaporkan atau 97.9 peratus berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Baki kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 57 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam 30 hari terakhir berbanding purata tujuh hari sebanyak 49, menunjukkan pola menurun.

Sehingga kini, 1,297 kematian Covid-19 telah dilaporkan pada bulan ini.

Sebanyak 2,704 kematian Covid-19 dilaporkan pada Oktober, 9,678 pada September, 7,642 pada Ogos dan 3,858 pada Julai.

Peningkatan jangkitan

Setakat semalam, terdapat 68,625 kes aktif Covid-19. Ini adalah peningkatan sebanyak 5.1 peratus daripada 65,318 jangkitan aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 9.6 peratus daripada 75,949.

Kemas kini selepas tengah malam Kementerian Kesihatan juga memberikan maklumat lanjut mengenai jangkitan baru Covid-19 semalam.

Daripada 5,594 kes baru semalam, sebanyak 212 daripadanya boleh dikesan kepada kluster Covid-19 yang berterusan.

Daripada kes berkaitan kluster, 91 (42.9 peratus) adalah dari tempat kerja manakala 88 (41.5 peratus) adalah dari institusi pendidikan.

23 lagi (10.8 peratus) adalah daripada kluster yang dikaitkan dengan acara keagamaan.

Baki kes dikesan kepada kluster yang berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua (6 - 2.8 peratus) dan penularan komuniti (4 - 1.9 peratus).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS