Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CDC China sokong vaksin campuran untuk dos penggalak
Diterbitkan:  Nov 23, 2021 9:23 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

Pihak berkuasa kesihatan China menyatakan sokongan terhadap penggunaan vaksin Covid-19 secara heterologi atau pemberian vaksin penggalak yang berbeza daripada suntikan asal.

Portal berita CodeBlue memetik Ketua Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC China), Prof George Fu Gao sebagai berkata, suntikan tambahan perlu berikutan penurunan perlindungan antibodi dari semasa ke semasa selepas dos vaksin awal diambil.

"Secara saintifik, kita sudah jalankan begitu banyak ujian. Kita sedang memikirkan tentang vaksinasi heterologi, berurutan — menggunakan vaksin peringkat awal dan kemudian vaksin heterologi kedua yang lain untuk melakukan suntikan penggalak.

"Ia masih Sains. Kami masih perlu kumpul lebih banyak data untuk melihat sama ada ia akan berfungsi atau tidak, tetapi dengan imunologi dan sains, ia akan berfungsi. Ini adalah sesuatu yang perlu kita fikirkan," Gao dilaporkan berkata pada sesi Townhall Global maya 2021 anjuran Komuniti Dasar Luar Indonesia pada hujung minggu lalu.

CodeBlue memetik Gao sebagai berkata kumpulan berisiko tinggi di China telah menerima dos penggalak mereka mulai bulan lalu.

"Menjelang 18 November, kira-kira 80 peratus orang berisiko tinggi telah diberi vaksin penggalak," kata Gao yang bidang kajiannya termasuk virologi dan imunologi, serta transmisi patogen antara spesies.

Awal bulan ini, South China Morning Post melaporkan bahawa China tidak lama lagi akan menarik balik sekatannya terhadap pencampuran dan pemadanan vaksin, bertujuan memperkenalkan "kombinasi imunisasi yang optimum."

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS