Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ginie Lim disiasat kerana langgar SOP PRN Melaka

Bekas Adun Machap Jaya PKR Ginie Lim dipanggil oleh pihak polis berhubung tindakannya mengedarkan pelitup muka ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lepas.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah (OCPD) Alor Gajah, Arshad Abu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa polis sedang menyiasat Ginie di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Beliau disiasat di bawah Akta 342 melanggar SOP berkempen," kata Arshad.

Menerusi laman Facebook petang tadi, Ginie berkata di hadir ke IPD Alor Gajah untuk memberi keterangan berhubung kehadirannya di pasar malam di Taman Melaka Perdana pada 29 Okt lalu.

Ginie merupakan bekas Adun di kawasan itu.

“Mengedarkan pelitup muka kepada orang ramai dan menyokong perniagaan di sana adalah tanggungjawab seorang penyandang kerusi DUN.

“Pengedaran topeng muka kepada peniaga dan orang ramai merupakan aktiviti tetap pusat khidmat (saya) sejak wabak pandemik.

“Mengapa pihak berkuasa hanya panggil saya untuk beri keterangan selepas pilihan raya negeri? Adakah ini satu tindakan menghukum oleh kerajaan baru?” soal Ginie.

Dalam pada itu Ginie juga mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan rakan seperjuangannya dalam Pakatan Harapan kerana menunjukkan setiakawan kepadanya petang ini.

Berdasarkan gambar yang disiarkan oleh Ginie, pemimpin PH yang turut hadir kesemuanya daripada DAP, termasuk Ketua DAP Melaka Tey Kok Kiew; Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong dan Adun Bandar Hilir, Leng Chau Yen.

Ginie digugurkan oleh PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini. 

Parti itu memilih pendatang baru, Law Bing Haw untuk bertanding di kerusi itu tetapi Law ditewaskan oleh Ngwe Hee Sem dari MCA dengan 938 undi.

Sebelum PRN Melaka, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata SOP berkaitan Covid-19 dipinda bagi melarang semua perhimpunan fizikal dan acara sosial berkaitan pilihan raya negeri yang berlangsung dari 25 Okt hingga 27 Nov.

Kementerian Kesihatan juga memberi amaran bahawa kempen secara berselindung juga boleh dikenakan tindakan.

Selepas itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga melarang semua kempen secara fizikal, ceramah, lawatan rumah ke rumah dan 'walkabout' sepanjang tempoh berkempen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS