Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PN tidak pernah minta jawatan di Melaka - Wan Saiful
Diterbitkan:  Nov 23, 2021 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menegaskan pemimpin tertinggi parti itu tidak meminta apa-apa jawatan untuk anggota dewan undangan negeri (Adun) mereka selepas BN memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

"Entah mana datang cerita mengenai Adun Perikatan Nasional (PN) mahu menyertai kerajaan negeri Melaka.

"Saya mahu tegaskan bahawa pimpinan tertinggi PN tidak pernah meminta apa-apa jawatan untuk Adun-Adun PN Melaka," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan bahawa tiada keperluan melantik dua Adun daripada PN yang menang pada PRN Melaka Sabtu lalu sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco).

Timbalan Presiden Umno itu berkata dia tidak melihat keperluan tersebut, memandangkan BN sudah mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri Melaka.

Mohamad dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali yang berkata, pihaknya akan berbincang dengan kepimpinan BN mengenai penyertaan dua Adun PN dalam kerajaan negeri.

Sementara itu Wan Saiful berkata, sebaliknya PN akan mengkaji keputusan PRN Melaka, terutama jumlah sokongan yang kelihatan meningkat di banyak kawasan.

"Dan kita akan rangka strategi untuk membolehkan kita memperkukuh parti di atas tapak yang telah terbina.

"Kita akan jadikan PRN Melaka sebagai batu loncatan untuk mengorak langkah mara ke hadapan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS