Walaupun berbalas kenyataan 'panas' dengan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menegaskan dia sama sekali tidak memusuhi Umno dan Muafakat Nasional (MN).
Malah anggota parlimen Pasir Mas itu menegaskan hubungannya dengan pemimpin-pemimpin Umno juga sangat baik sekali gus menafikan tanggapan sesetengah pihak.
"Ada yang menyebut bahawa saya anti-MN, anti-Umno, saya fikir ini kenyataan yang agak tersasar. Saya tidak anti-Umno, jauh sekali anti-Muafakat Nasional.
"Hubungan saya dengan pemimpin-pemimpin Umno khususnya di parlimen sangat baik, tiada masalah.
"Bahkan dalam perbahasan di parlimen, saya memberikan sokongan kepada sahabat-sahabat dari Umno," katanya pada hantaran di Facebook, hari ini tanpa menyebut secara jelas kepada siapa kenyataannya ditujukan.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Ahmad Fadhli Shaari memulangkan 'paku buah keras' kepada rakan sejawatnya itu dengan pesanan supaya ketua pemuda Umno itu menjaga tarafnya.
Ia selepas Asyraf menyifatkan Ahmad Fadhli seorang yang angkuh kerana mengeluarkan kenyataan mengatakan PAS mahu menggugat kubu BN dalam satu kenyataan berhubung keputusan PRN Melaka.
Sementara itu, Ahmad Fadhli menjelaskan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sering berpesan supaya tidak memutuskan hubungan dengan MN dan berusaha agar PRU15 nanti tiada pertembungan tiga penjuru.
"Bagaimana masa depan PAS dan Umno dalam MN ini, saya tidak boleh jawab kerana saya tidak terlibat antara rundingan dua buah parti ini.
"Saya hanya menerima arahan, menerima arah tuju yang ditentukan oleh parti.
"Secara peribadi, melihat kepada keputusan di Melaka, saya fikir sangat perlu untuk dielakkan pertembungan tiga penjuru di seluruh negara," katanya.
Dia juga mengulas mengenai manusia yang suka memesongkan fakta, mengambil kenyataan sekerat dan kemudiannya membuat pemahaman sendiri, lantas menabur persepsi pula atas pemahaman yang dibuat itu.
Orang seperti ini, kata Fadhli sangatlah tidak berguna untuk politik negara, di dalam parti apa sekalipun.
"Manusia seperti ini hanyalah dedalu politik, datangnya langsung tiada faedah, bahkan menambah toksik untuk memastikan dirinya besar dan segar.
"Saya bukan anti kepada parti tertentu, namun ya, saya sangat anti kepada manusia seperti ini," tegasnya.