mk-logo
Berita
Abim gesa menteri kaji semula had umur pegang jawatan pertubuhan belia
Diterbitkan:  Nov 23, 2021 1:22 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu supaya mengkaji semula pengumuman pelaksanaan had umur bawah 30 tahun untuk pertubuhan-pertubuhan belia menerusi sidang parlimen baru-baru ini.

Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam kenyataan media berkata bahawa dasar had umur belia yang berubah-ubah akan mengganggu kestabilan pertubuhan belia untuk jangka masa panjang.

"Abim berpandangan bahawa pelaksanaan had umur ini dibuat secara tergesa-gesa tanpa dimuktamadkan kaedah perlaksanaan secara pendaratan landai (soft landing) bersama konsultasi yang baik dengan pertubuhan-pertubuhan belia selaku pemegang taruh utama yang memimpin belia membangunkan masyarakat di akar umbi sejak sekian lama.

"Bantahan ini bukan perkara baru kerana ia telah disuarakan semenjak ia diluluskan pada 2019, walaupun pada awalnya diumumkan had umur ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai umur bawah 35 tahun semasa sambutan Hari Belia Negara 2019 oleh menteri belia dan sukan ketika itu.

"Sebaliknya perubahan secara drastik akan menjejaskan operasi pertubuhan-pertubuhan belia termasuk dalam pengurusan institusi serta aset-aset," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu. 

Dia berkata demikian pengumuman Faizal bahawa Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan had umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2022.

Muhammad menambah bahawa had umur 35 tahun sebelum ini ini dilihat lebih realistik.

Ini jelasnya dengan mengambil kira demografik petugas-petugas belia yang berkhidmat secara sepenuh masa menggerakkan pertubuhan di seluruh negara, berbanding belia bawah 30 tahun yang masih dalam fasa membina kerjaya, keluarga dan kehidupan.

"Abim menegaskan pandangan ini perlu diberi perhatian dengan penuh tanggungjawab demi meneruskan kelestarian aktivisme belia yang bermula semenjak sebelum negara ini mencapai kemerdekaan lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS