PARLIMEN | Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran membuat semakan serta kawalan berhubung pandangan dan pendapat yang dikeluarkan oleh golongan agamawan di negara ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata semakan dan kawalan tersebut perlu bagi mengelakkan kekeliruan dikalangan umat Islam di negara ini berikutan terlalu banyak pandangan dan pendapat yang dikeluarkan oleh golongan terbabit.
"Saya minta supaya pihak Jakim ini dapat menyemak, dapat membuat kawalan terhadap berbagai-bagai pendapat yang berkaitan keagamaan yang dikeluarkan oleh golongan agamawan yang akhirnya kadang-kadang menyebabkan kekeliruan di kalangan orang awam, yang manakah pendapat yang perlu diguna pakai.
"Kerana semua pendapat itu bersandarkan kepada soal Islam," katanya.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata contohnya, kepimpinan wanita dalam Islam.
"Dulu, (kata) tak boleh wanita jadi menteri besar Selangor. Sekarang, Melaka boleh pula lantik (calon) ketua menteri dari kalangan wanita," katanya.
Untuk rekod, pada 2014, PAS berkeras menolak menyokong Presiden PKR ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjadi menteri besar Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim. Cubaan PKR itu juga dikenali sebagai 'Langkah Kajang'.
Bagaimanapun ia berbeza dalam PRN Melaka baru-baru ini apabila Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Mas Ermieyati yang merupakan ahli parlimen Masjid Tanah sebagai ketua menteri Melaka yang baru sekiranya gabungan itu memenangni PRN Melaka.
Sementara itu, Mahfuz berkata saranannya itu dibuat semata-mata bagi mengelak nama baik Islam terus tercemar sekali gus mengakibatkan golongan agamawan tidak lagi dihormati.
"Saya minta dikawalkan pendapat-pendapat ini supaya dia jangan mencemarkan nama baik Islam yang akhirnya orang tidak memandang hormat kepada golongan agamawan ini," katanya.