Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Naib Ketua Pemuda PKR cabar Adun DAP namakan pengganti Anwar
Diterbitkan:  Nov 22, 2021 4:36 PM
Dikemaskini: 3:01 PM

Seorang Naib Ketua Pemuda PKR mencabar Adun Bilut Lee Chin Chen dari DAP untuk menamakan seorang pemimpin yang mampu menggantikan Anwar Ibrahim sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH).

"Apa sebenarnya motif Lee menuding jari serta mendesak Anwar berundur? Apakah Lee akan turut desak Setiausaha DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu untuk turut berundur dari pucuk kepimpinan PH?

"Kalah satu PRN terus ugut keluar PH ini seolah-olah memang wujud perancangan untuk menubuhkan satu pakatan baru tanpa PKR.

"Jika itu yang dimahukan oleh pimpinan DAP maka mereka boleh keluarkan PKR daripada PH," kata Naib Ketua Pemuda PKR S Thiban dalam kenyataan media hari ini.

Dia juga menggesa Lee kemukakan satu nama yang mampu untuk menggantikan Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang.

"Jika tidak, Lee harus memohon maaf secara terbuka," katanya.

Dia berkata demikian setelah kenyataan Lee awal hari ini menggesa Anwar berundur sebagai ketua pembangkang berikutan kekalahan PH pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Lee sebelum ini berkata pakatan pembangkang perlu meneroka hala tuju dan konsensus baru secepat mungkin.

Katanya, sekiranya gagal berbuat demikian, DAP perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk keluar daripada PH.

PRN Melaka Sabtu lalu menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi. PKR kalah di semua kerusi ditandingi. Sementara DAP dan Amanah masing-masing meraih empat dan satu kerusi.

Perikatan Nasional pula hanya menang dua kerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS