ULASAN l Terdapat banyak pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri Melaka yang berlangsung Sabtu lepas. Tetapi, cubaan untuk meletakkan semua kesalahan ke atas mana-mana individu, dalam kes ini, pemimpin Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, adalah satu cubaan yang tidak produktif.
Pertamanya, perlu ada perubahan gaya pemikiran politik oleh semua pemimpin politik.
Era hegemoni politik Umno sepatutnya sudah tamat pada pilihan raya umum 9 Mei 2018 di mana Pakatan Harapan menumbangkan BN yang didominasi Umno, tetapi PRN Melaka pada 20 November 2021 ini seakan-akan menunjukkan kedatangan semula hegemoni politik Umno.
Perkara ini tidaklah benar dan dapat dilihat daripada undi yang diraih daripada ketiga-tiga gabungan politik -- di mana BN meraih 38.39 peratus atau 122,741 undi, PH dengan 35.65 peratus atau 113,968 undi, dan Perikatan Nasional (PN) dengan 24.47 peratus atau 78,220 undi.
Penganalisa politik, Bridget Welsh, telah membongkarkan dua tafsiran PRN Melaka, pertamanya bahawa Umno telah kembali ke era hegemoninya sebelum ini sedangkan perkara ini tidak tepat seperti yang dilihat daripada hanya 38.39 peratus peratusan undian yang diraihnya walaupun perkara ini membawa kepada pertambahan lima kerusi, daripada 13 ke 18 kerusi; dan keduanya kononnya MCA dan MIC kini berjaya kembali ke arena politik selepas memenangi dua dan satu kerusi masing-masing, sedangkan MCA kehilangan sokongan di lapangan, daripada 10 peratus ke 8 peratus undian, manakala MIC mengekalkan kadar sokongannya pada 1 peratus berbanding dengan Pilihan Raya Umum 14.
Kita kini berada dalam situasi politik baharu di mana tidak ada parti politik yang boleh mempunyai hegemoni politik, tetapi pada masa yang sama, gaya fikir sebagai sebuah gabungan masih perlu dibangunkan memandangkan ramai yang masih menggunakan pemikiran hegemoni politik lama.
Walaupun kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya menjadi yang pertama untuk menerokai gaya fikir politik gabungan di Malaysia, ia telah gagah untuk berbuat demikian lalu terperangkap dalam acuan politik hegemoni yang diamalkan Barisan Nasional selama setengah abad yang lepas.
Seorang Perdana Menteri untuk gabungan saksama seperti PH patut bertugas dengan cara berbeza dengan berbanding dengan seorang Perdana Menteri BN yang didominasi Umno, tetapi pemikiran ini berterusan dalam 22 bulan kerajaan PH mentadbir daripada Mei 2018 sehingga Februari 2020.
Dalam satu gabungan dengan hegemoni sesebuah parti, Perdana Menteri membuat keputusan mengikut tahap penerimaan parti komponen yang lain.
Dalam satu gabungan yang saksama pula, Perdana Menteri perlulah berunding dan mencapai persetujuan parti komponen yang lain mengenai pelantikan Menteri, pengagihan Kementerian, dan dasar-dasar yang akan dilaksanakan.
Pengakuan Muhyiddin Yassin semasa kempen PRN Melaka menunjukkan dalam acuan “hegemoni” kerajaan gabungan ini, ada kemungkinan untuk parti komponen untuk bergerak dengan cara yang menyimpang daripada matlamat bersama gabungan tersebut, seperti penangkapan dan penahanan wakil rakyat parti komponen atas tuduhan dibuat-buat berkenaan dengan aktiviti keganasan Tamil Tigers di Sri Lanka.
Pemikiran politik gabungan ini hanya boleh dicapai di bawah PH dan bukanlah BN yang berteraskan hegemoni sesebuah parti.
PH juga perlu mengguna pakai peraturan untuk persetujuan sebulat suara dalam Majlis presidennya.
Perkara seperti ini akan mengelakkan PH daripada membuat kesilapan seperti menerima “katak politik” yang telah ditolak bulat-bulat dalam PRN Melaka.
PH tidak boleh hilang kedudukan moral, integriti, khidmat demi rakyat dan bukannya diri sendiri dan juga pada masa yang sama perlulah melihat diri kita semua pertamanya sebagai Rakyat Malaysia dalam masyarakat yang berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.
LIM KIT SIANG ialah ahli parlimen DAP Iskandar Puteri.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.