Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kesatuan pekerja bank mahu kerajaan pulangkan duit ahli KWSP

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) mendesak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menuntut kerajaan memulangkan wang yang dikeluarkan oleh ahli KWSP daripada kumpulan B40 dan M40 untuk menyokong pakej rangsangan kerajaan.

Nube mengingatkan tujuan utama KWSP untuk melindungi simpanan persaraan pesara telah mula beralih.

“Memandangkan kerajaan yang telah menyebabkan kemerosotan besar dalam simpanan persaraan pekerja B40 dan M40, melalui pakej rangsangannya, maka adalah wajar kerajaan menambah balik simpanan dengan memulangkan wang yang telah dikeluarkan.

“Kerajaan perlu mencari kaedah bagi tujuan ini demi perlindungan para pencarum selepas mereka bersara,” kata Presiden Nube J Solomon.

Solomon berkata, kerajaan membuatkan pekerja mengeluarkan wang simpanan mereka untuk merangsang ekonomi melalui program seperti i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra.

Akhirnya sekali, katanya, RM101 billion dikeluarkan oleh ahli KWSP.

Dia juga berkata, kerajaan dan majikan juga mendapat manfaat dari tiga skim tersebut.

“Kerajaan berbangga bahawa pakej rangsangannya termasuk RM101 bilion sedangkan ia bukan dari tabung kerajaan tetapi dari simpanan persaraan pekerja,” katanya.

Katanya, majoriti 7.4 juta pencarum KWSP yang mengeluarkan simpanan mereka daripada kategori B40 dan M40.

“Walaupun pengeluaran ini memberi kesan jangka pendek ke atas ekonomi dan komuniti perniagaan mendapat manfaat, simpanan persaraan para ahli yang miskin telah susut,” katanya.

Kesatuan itu membangkitkan kira-kira 6.1 juta pencarum KWSP kini hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 manakala 3.6 juta lagi mempunyai simpanan kurang RM1,000.

Katanya, pengeluaran itu menyebabkan mereka terdedah dan tidak dilindungi untuk persaraan mereka kepada kekangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS