Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Walau Najib dah ‘tolak’, pembangkang terus bangkitkan isu rumah RM100 juta

Pembangkang terus membangkitkan isu pemberian hartanah RM100 juta kepada mantan perdana menteri, Najib Razak, di parlimen.

Tindakan itu terus dilakukan walaupun Najib telah pun menarik balik hasratnya itu Jumaat lalu, sehari sebelum pilihan raya negeri Melaka.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim hari ini mempertikaikan kenapa kerajaan sebelum ini begitu mudah mempertimbangkan permohonan itu dan menuntut penjelasan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Jadi, kita minta menteri (kewangan) beri penjelasan apa yang berlaku memang kita tahu ada dalam undang-undang (peruntukan kepada bekas perdana menteri) tetapi kita nak tahu berapa yang diperoleh dan mengapa jemaah menteri boleh setuju dengan mudah kemudahan diberikan walaupun jemaaah menteri sebagai besar dari parti Melayu dan Islam,” katanya ketika pembahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) ketika mencelah perbahasan Anwar, secara sinis bertanyakan sama ada ketua pembangkang bersetuju supaya kerajaan memberikan imbuhan besar kepada bekas perdana menteri walaupun negara muflif.

“Memandangkan jasa bekas perdana menteri boleh tak ketua pembangkang setuju dengan saya, Tunku Abdul Rahman diberi pampasan RM1 bilion sebagai bapa kemerdekaan, Abdul Razak Hussein bapa pembangunan RM500 juta, Hussein Onn bapa perpaduan cukuplah RM300 juta, Dr Mahathir Mohamed bapa pembangunan moden kita bagi RM2 bilion, Abdullah Badawi RM100 juta, Najib Razak RM100, buat negara bankrup pun tak apa, yang penting imbuhan kepada bekas perdana menteri begitu penting, setuju ketua pembangkang?” kata Mohamad Sabu.

Anwar bagaimanapun menjelaskan, imbuhan terlalu tinggi kepada bekas perdana menteri akan memberi beban kepada kewangan negara.

“Saya percaya kalau ikutkan pengalaman tokoh seperti Tunku Abduk Rahman, Tun Razak, orang-orang ini tak perlu imbuhan, ini berbeza dengan yang lain,” katanya.

Sebelum ini Tengku Zafrul mengesahkan di Dewan Rakyat, bahawa kerajaan menerima permohonan Najib untuk mendapatkan satu daripada tiga hartanah yang ditawarkan kerajaan selaras dengan peruntukan undang-undang.

Tengku Zafrul berkata, permohonan dibuat Najib selepas Bajet 2022 dibentangkan di Dewan Rakyat, menyebabkan perincian berkaitan ganjaran terbabit tidak dapat disenaraikan dalam pembentangan berkenaan.

Dia mengesahkan perbincangan mengenainya sudah diadakan pada mesyuarat jemaah menteri dan menunggu keputusan dimuktamadkan.

Ia menimbulkan rasa tidak puas hati wakil pembangkang termasuk Dr Mahathir Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) yang mempertikaikan pemberian kepada seorang yang didapati bersalah oleh mahkamah dalam kes dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Najib kemudian mengumumkan menarik balik hasrat menerima hartanah daripada kerajaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang berdepan situasi sukar kepada Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS