Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Annuar nafi kata gangguan seksual tak perlu diperbesarkan
Diterbitkan:  Nov 21, 2021 3:12 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa menafikan bahawa dia menasihati penggiat industri seni tanah air supaya tidak memperbesarkan isu gangguan seksual di kalangan mereka.

Menerusi Facebook, Annuar berkata laporan dalam sebuah akhbar harian berbahasa Melayu hari ini tidak mencerminkan pendiriannya mengenai isu gangguan seksual.

"Saya dan KKMM mengambil berat mengenai isu gangguan seksual dan ia bukan isu yang remeh. Malah gangguan seksual adalah isu kesalahan jenayah.

"Isu ini tidak akan terungkai dengan melemahkan mana-mana pihak, sebaliknya memerlukan gembelengan tenaga setiap pihak baik media mahupun pihak berkuasa dan mereka yang terlibat," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Annuar mengulas laporan Utusan Malaysia yang memetik pandangannya dalam satu wawancara mengenai pendedahan beberapa penggiat seni tanah air berkaitan gangguan seksual di kalangan artis, selebriti dan kru produksi.

Kata Annuar dia dihubungi wartawan akhbar berkenaan untuk mengadakan wawancara yang kemudian mencadangkan tajuk gangguan seksual dalam industri seni tanah air.

"Tetapi saya mencadangkan agar temubual itu membincangkan fokus utama saya masa ini iaitu pembangunan industri bagi membantu penggiat seni negara.

"Malangnya apa yang keluar adalah tafsiran wartawan tersebut yang tidak mencerminkan pendirian saya.

"Saya telah memaklumkan hal ini pada PDRM. Saya percaya pihak berwajib akan bertindak mengikut undang undang," katanya.

Terdahulu, Utusan memetik pendedahan pelakon, Namron mengenai gangguan seksual dalam industri hiburan tidak hanya berlaku kepada wanita sebaliknya lebih ramai artis lelaki berdepan isu tersebut.

Malah pelakon Sharifah Amani juga mendedahkan golongan kru produksi turut berdepan isu yang sudah lama ‘bernanah’ dalam industri hiburan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS