Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata dia tidak berhasrat kembali semula ke pangkuan Umno meskipun Perikatan Nasional (PN) mencatatkan kekalahan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung semalam.
Muhyiddin berkata ini kerana gabungan itu mendukung prinsip integriti dan tadbir urus kerajaan yang lebih baik.
Dia berkata demikian bagi mengulas gesaan bekas ahli majlis tertinggi Umno, Lokman Noor Adam agar membubarkan Bersatu berikutan prestasi buruknya pada PRN Melaka, meskipun PN bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Terima kasih Lokman Adam menjadi penasihat saya tetapi minta maaf, kerana kita sudah berhijrah jauh dan kita yakin bahawa prinsip dan asas pembentukan bukan sahaja Bersatu tapi PN tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menawarkan suatu bentuk parti yang mendukung kerajaan yang lebih baik,” kata Muhyiddin pada sidang media di Hotel Hatten Melaka malam tadi.
Terdahulu, Lokman mencadangkan Muhyiddin kembali kepada Umno sekiranya dia mengutamakan umat Islam bagi mengukuhkan pengaruh parti itu pada pilihan raya umum akan datang.
Muhyiddin berkata PN berpegang pada prinsip-prinsip ketelusan, integriti, menentang rasuah dan salahguna kuasa
"Apakah saya harus tinggalkan prinsip itu untuk tujuan kembali kepada parti asal saya, tidak sekali kali,” tambahnya.
Pemimpin Bersatu itu sebelum ini menyifatkan Umno sebagai parti yang mengutamakan kepentingan sendiri berbanding kepentingan rakyat semasa pandemik Covid-19 dengan merujuk kepada rampasan kuasa di Perak pada Disember 2020, di peringkat persekutuan pada Ogos dan krisis politik di Melaka sehingga menyebabkan pilihan raya negeri.
Malam tadi, BN memenangi pilihan raya Melaka dengan mencatatkan kemenangan besar apabila memperolehi majoriti dua pertiga kerusi DUN.
Gabungan itu sebelum ini hanya memiliki 13 daripada 28 kerusi DUN, dengan MCA dan MIC turut menunjukkan prestasi yang lebih baik selepas tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum 2018.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata dia berharap BN akan menepati janji yang terdapat dalam manifestonya.