Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN sasar jangka hayat DUN Melaka kekal 4 tahun - Zahid
Diterbitkan:  Nov 20, 2021 11:51 PM
Dikemaskini: 3:52 PM

Barisan Nasional (BN) akan mencadangkan lima ketetapan yang menjurus kepada agenda transformasi dan pengukuhan bagi mewujudkan kestabilan politik negara bermula di Melaka berikutan kejayaan gabungan itu meraih majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan mencadangkan ketetapan itu pada sesi persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

"Agenda pertama adalah memperkenal Enakmen Anti Lompat dan meminda peruntukan undang-undang berkaitan bagi menangani isu ‘lompat’ dalam kalangan wakil rakyat di DUN Melaka," katanya dalam sidang media selepas BN memperoleh majoriti dua pertiga pada PRN itu.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka malam ini.

Beliau berkata ketetapan kedua pula adalah mengusulkan kerjasama antara wakil rakyat untuk memastikan jangka hayat DUN Melaka kekal sekurang-kurangnya empat tahun dari tarikh pertama persidangan.

Katanya turut dicadangkan adalah memperkenal amalan undi percaya konstruktif bagi memastikan sebuah kerajaan tidak mudah dijatuhkan.

Ketetapan lain yang dicadangkan adalah memperkenal agenda transformasi dan pengukuhan dalam urusan persidangan DUN Melaka untuk membolehkan semua wakil rakyat memainkan peranan lebih efektif dalam penggubalan undang-undang, pembuatan dasar dan semak serta imbang terhadap kerajaan negeri.

Ahmad Zahid berkata ketetapan yang dicadangkan selaras dengan agenda kestabilan politik yang menjadi teras gabungan BN dan kemenangannya pada PRN Melaka adalah isyarat jelas hasrat rakyat negeri itu.

"Kejayaan yang telah diberikan kepada BN akan dibalas oleh kita dengan memberikan perkhidmatan terbaik serta melaksanakan segala janji yang terdapat dalam manifesto BN.

"Dengan kemenangan ini, BN juga mengiktiraf permintaan rakyat yang mahukan kestabilan politik kembali di Melaka... insya-Allah, kestabilan politik ini kita akan terjemahkan di seluruh negara dalam PRU (Pilihan Raya Umum) nanti," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya malam ini mengumumkan BN memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada 28 kerusi DUN yang dipertanding dalam PRN Melaka.

BN memenangi 21 kerusi manakala Perikatan Nasional dua kerusi dan Pakatan Harapan memperoleh lima kerusi.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS