Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kemenangan BN isyarat rakyat tolak katak politik - Najib
Diterbitkan:  Nov 20, 2021 10:33 PM
Dikemaskini: 3:24 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak melihat kemenangan BN dalam PRN Melaka hari ini sebagai isyarat jelas bahawa rakyat melihat pencapaian diutamakan dan janji ditepati, serta pada masa sama menolak “katak-katak politik”.

“Katak-katak politik tidak diterima sama sekali. Rakyat mahukan kestabilan demi kemakmuran. Satu pilihan raya yang agak sukar juga bagi BN.

[...] “Kepada Adun-Adun BN dan kepimpinan kerajaan negeri Melaka, mandat telah diberikan oleh rakyat. Buat sehabis baik, tunaikan janji BN dan laksanakan urus tadbir yang cemerlang di Melaka.

“Kita tiada masa untuk dibazirkan. Melaka telah banyak ketinggalan sejak PRU14 dan kita perlu kembalikan Melaka ke landasan pembangunan,” katanya di Facebook.

Najib turut menzahirkan penghargaan buat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Umno merangkap pengarah pilihan raya Melaka Mohamad Hasan, serta akar umbi PAS di Melaka atas sokongan diberikan.

“Walaupun terdapat perbezaan pendapat dari segi hala tuju bersama pada masa ini, namun ahli-ahli kita semua tidak lupa usaha-usaha dahulu ke arah pembentukan Muafakat Nasional dan hanya mahukan yang terbaik,” katanya lagi.

BN berjaya meraih majoriti dua pertiga dalam PRN kali ini, berbanding hanya 13 daripada 28 kerusi yang dimenangi mereka dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan BN dalam PRN Melaka isyarat jelas rakyat mahukan kestabilan politik.

“Alhamdulillah, kemenangan BN dalam PRN Melaka sungguh besar ertinya. Ia memperlihatkan perubahan sikap rakyat khususnya pengundi Melaka yang sudah kembali menyokong BN. Alhamdulillah, para pengundi dan rakyat Melaka telah memberi mandat semula kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri, sokongan rakyat Melaka amat dihargai oleh BN

“Dengan kemenangan ini [...] mengiktiraf permintaan rakyat yang mahukan kestabilan politik supaya kembali di negeri Melaka dan insya-Allah kestabilan politik ini akan diterjemahkan di seluruh negara,” katanya.

Pemimpin PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Mohd Khairuddin Aman Razali mengucapkan tahniah atas kemenangan BN.

"Tahniah Melaka. Dari Pulau Melaka.Tahniah BN. Daripada rakan MN. Takziah PAS. Daripada PAS.

"BN, benar-benarlah bersyukur. Bertambahlah lagi. PAS, benar-benarlah bermuhasabah. Bertambahlah istiqamah," kata Nik Abduh yang juga ahli parlimen Bachok.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin membangkitkan mengenai pilihan raya umum ke-15 akan datang dengan mengambil kira keputusan PRN Melaka.

“Kita menerima kekalahan kerana itu adat bertanding. Tahniah kepada calon-calon PAS dan PN yang telah mengusahakan yang terbaik.

“Tahniah pada BN. Apa pun keputusan, muafakat umat mesti diteruskan malah diperkasakan kerana jalan di hadapan masih bersimpang-siur. Cabaran PRU15 usah dipandang ringan. 

"Peratus turun mengundi di PRN Melaka rendah belum boleh dijadikan ukuran untuk berhadapan dengan PRU.

“Undi PAS meningkat kerana bersama dengan PN namun yang kita mahukan ialah kemenangan yang pasti menerusi muafakat semua,” kata ahli parlimen Kuala Nerus itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS