Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ambil apa saja dos penggalak yang ditawarkan - KJ
Diterbitkan:  Nov 20, 2021 7:28 PM
Dikemaskini: 11:28 AM

Penerima vaksin Sinovac menyumbang kira-kira 84 peratus daripada kes Covid-19 serius dalam kalangan penerima vaksin yang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan kadar imunisasi yang semakin berkurangan dan menggalakkan lebih ramai tampil ke hadapan bagi mendapatkan suntikan penggalak.

“Mengapa selang penggalak yang lebih pendek untuk Sinovac (tiga bulan) berbanding Pfizer atau AstraZeneca (enam bulan)?

“Walaupun Sinovac berkesan, terdapat bukti keberkesanannya berkurangan lebih cepat.

“Ini adalah Kategori 4 dan kategori 5 bagi kemasukan mingguan ke Hospital Sungai Buloh.

"Itulah sebabnya kami mahu anda mengambil apa sahaja penggalak yang ditawarkan," ciapnya di Twitter hari ini.

Khairy turut memuat naik bersama carta yang menunjukkan data pesakit yang telah menerima vaksinasi di hospital Covid-19.

Kategori 4 merujuk kepada pesakit Covid-19 dengan jangkitan paru-paru yang memerlukan sokongan oksigen.

Kategori 5 merujuk kepada pesakit Covid-19 dengan pelbagai kegagalan organ yang memerlukan sokongan ventilator.

Berdasarkan carta yang dikongsi oleh Khairy, penerima Sinovac merupakan majoriti besar jangkitan Covid-19 yang serius di Hospital Sungai Buloh, meningkat kepada lebih 100 dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Penerima Pfizer yang mengalami jangkitan serius telah meningkat sedikit kepada melebihi 20 dalam beberapa minggu kebelakangan ini manakala jangkitan serius yang melibatkan penerima Astrazeneca kebanyakannya kekal dalam satu digit.

Di seluruh negara, hampir 50 peratus daripada populasi yang diberi vaksin sepenuhnya menerima Sinovac. Penerima Pfizer membentuk 36.3 peratus manakala penerima Astrazeneca membentuk 13.7 peratus. Penerima Cansino dos tunggal menyumbang 0.1 peratus daripada populasi.

Kes Covid-19 meningkat di seluruh Lembah Klang, Kementerian Kesihatan sebelum ini memberi amaran.

Pemberian dos penggalak

Bagi suntikan penggalak, kerajaan kini menawarkan vaksin Pfizer, Sinovac dan Astrazeneca.

Penggalak diutamakan untuk petugas barisan hadapan, mereka yang berumur 40 tahun ke atas, mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi, wanita hamil dan mereka yang memerlukannya untuk perjalanan ke luar negara.

Temu janji sedang diedarkan melalui MySejahtera tanpa perlu pendaftaran.

Bagaimanapun, mereka yang layak juga boleh mendaftar untuk berada dalam senarai menunggu mulai Isnin depan (22 Nov) di fasiliti penjagaan kesihatan swasta.

Senarai kemudahan penjagaan kesihatan yang mengambil bahagian akan tersedia dari laman web ProtectHealth Corporation apabila pendaftaran dibuka. Mereka juga boleh menghubungi kemudahan melalui telefon atau e-mel.

ProtectHealth ialah entiti milik Kementerian Kesihatan yang menghubungkan penglibatan sektor swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Khairy sebelum ini mendedahkan bahawa kira-kira 40 peratus tidak hadir menerima dos penggalak. Dia memberi amaran kemasukan ke hospital 19 akan meningkat jika kadar pengambilan dos penggalak tidak meningkat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS