Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesakit Covid-19 dikesan mengundi di Alor Gajah
Diterbitkan:  Nov 20, 2021 6:34 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

PRN MELAKA | Seorang pengundi yang keluar mengundi di Alor Gajah didapati positif selepas dia selesai melaksanakan proses itu hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr Rusdi Abd Rahman dalam kenyataan dikeluarkan petang ini.

Katanya, hal itu diketahui menerusi notifikasi yang diterima Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah daripada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Melekek.

“Terdapat seorang kes positif Covid-19 yang telah keluar mengundi di salah sebuah pusat mengundi di daerah Alor Gajah.

“Keputusan ujian bagi pesakit ini diterima dari makmal swasta setelah dia selesai proses mengundi. Pesakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala pada waktu mengundi.

“Sehubungan itu, pihak PKD Alor Gajah telah mengambil tindakan segera iaitu mengarahkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di pusat mengundi terlibat untuk menutup sementara kawasan berisiko, termasuk saluran mengundi, untuk proses disinfeksi menyeluruh,” katanya.

Proses disinfeksi itu, katanya, dijalankan dengan kerjasama bomba,.

Rusdi berkata SPR membuka bilik baru sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan yang baru, manakala pasukan pemantauan PKD Alor Gajah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur.

“Jabatan memandang serius perkara yang berlaku ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci.

“Semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat oleh Bilik Gerakan PKD Alor Gajah,” katanya lagi.

Pengundian PRN Melaka ditutup jam 5.30 petang tadi, dan kini kiraan undi sedang dijalankan. Anda boleh mengikuti perkembangan terkini di laman khas kami di sini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS