Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN terbuka untuk berbincang jika keputusan tak memberangsangkan

PRN MELAKA | Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti sekiranya keputusan tidak memihak sepenuhnya kepada mereka.

Katanya apa yang diutamakan BN ialah kestabilan politik di Melaka.

Namun ahli parlimen Bagan Datuk itu juga enggan mendedahkan butiran mengenai keterbukaan yang dimaksudkannya itu.

"Soal perincian kepada persefahaman itu akan kita maklumkan kepada media untuk disebarkan kepada umum nanti (kemudian)," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan BN di Ayer Keroh hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya sama ada BN telah mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana parti setakat ini sekiranya gagal mendapat kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.

Sesebuah gabungan parti memerlukan sekurang-kurangnya 15 kerusi untuk menubuhkan kerajaan. BN mempertandingkan kesemua 28 kerusi di PRN Melaka.

Mengulas mengenai peratusan kadar mengundi yang rendah, presiden Umno itu berkata ia merupakan perkara yang telah dijangkakan.

"Kita telah jangka trend pengundian di Melaka ni rendah dan ini terbukti benar.

"Namun kami merasakan gelombang sokongan itu memihak kepada BN sehingga keputusan diumumkan, kita tak boleh membuat pengiraan sehingga keputusan rasmi dibuat oleh SPR.

"Namun, jika apapun yang berlaku, sama ada ia positif atau sebaliknya, kita merancang sesuatu yang baik untuk kerajaan Melaka," katanya.

Tambahnya, sekiranya keputusan memihak kepada BN, janji-janji manifesto akan dilaksanakan dengan segera tetapi jika sebaliknya, sesuatu perlu dilakukan demi kestabilan negeri bersejarah itu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS