Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sabah terima pelancong lengkap vaksinasi tanpa saringan mulai 1 Dis
Diterbitkan:  Nov 20, 2021 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Sabah akan membenarkan pelancong yang sudah lengkap divaksinasi memasuki negeri ini tanpa perlu menjalani ujian saringan COVID-19, mulai 1 Dis ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata memandangkan negeri berkenaan telah memasuki Fasa Empat, kerajaan Sabah bersetuju membenarkan pelancong dari luar masuk ke negeri tersebut.

“Pelancong dari Semenanjung atau dari mana-mana yang datang ke Sabah bermula 1 Dis tidak perlu swab test lagi, tapi perlu vaksinasi lengkap,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Pameran MATTA Fair kali ke-49 di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Hajiji, pihaknya sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong dengan menawarkan lokasi-lokasi pelancongan istimewa dan yakin sektor pelancongan akan kembali pulih dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sementara itu, Hajiji berkata Sabah bersiap sedia sepenuhnya untuk menerima ketibaan pelancong luar negara sebaik sahaja Malaysia membuka sempadan negara tahun depan.

“Sejak Nov 2021, terdapat 266 penerbangan terus mingguan ke Sabah dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Labuan dan Sarawak dengan jumlah kapasiti 43,000 tempat duduk.

“Dalam Sabah sahaja, 123 penerbangan mingguan dengan jumlah kapasiti 16,720 tempat duduk menghubungkan Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau,” katanya dalam ucapan.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin, Menteri Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Presiden MATTA Datuk Tan Kok Leong.

Beliau berkata kerajaan negeri Sabah telah melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah bagi segmen tempatan dan antarabangsa untuk meningkatkan promosi pelancongan termasuk perubahan keadaan pasaran ketika pandemik.

Lembaga Pelancongan Sabah (STB) juga berkolaborasi dengan pengusaha industri pelancongan untuk mengadakan pendekatan, ekspo pelancongan, promosi dan latihan mengenai kemas kini destinasi secara maya.

“Ini termasuk mewujudkan semula perdagangan dan keyakinan pelancong melalui perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) dan kerajaan-kepada-kerajaan (G2G) dengan negara termasuk China, Korea Selatan, Norway, Indonesia, Brunei, Dubai, Itali, Kazakhstan dan Turki.

“STB juga bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan membantu mereka dalam mewujudkan semula penerbangan terus untuk perjalanan domestik dan antarabangsa,” katanya.

Hajiji berkata MATTA Fair yang kembali dianjurkan adalah penting kerana ia menandakan permulaan fasa pemulihan bagi industri pelancongan selepas hampir dua tahun negara dilanda COVID-19.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS