Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tok Mat: PRN Melaka bukan macam pilih Akademi Fantasia
Diterbitkan:  Nov 19, 2021 10:32 PM
Dikemaskini: 2:32 PM

PRN MELAKA | “Ini bukan pemilihan Akademi Fantasia tapi pemilihan kerajaan untuk lima tahun,” demikian pesanan Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, kepada rakyat Melaka agar keluar mengundi esok.

Beliau berkata para pengundi perlu menggunakan hak mereka dengan bijak dan cukuplah segala kesusahan yang ditempuhi rakyat Melaka, akibat pergaduhan sesama sendiri pemimpin politik.

“Ini pemilihan untuk lima tahun dan PRU (Pilihan Raya Umum) itu, belum tentu lagi. Jadi keluar mengundi esok dan gunakan hak anda.

“Pasal Covid-19 ini, ia macam pergi pasar. Pakai pelitup muka dan hidung, guna pensanitasi tangan, jadi jangan takut untuk keluar mengundi,” katanya dalam rancangan khas yang disiarkan melalui Facebook Studio UN9 malam ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional berkata sudah masanya rakyat mengembalikan mandat kepada Barisan Nasional sebagai parti yang mempunyai rekod prestasi dan pengalaman mentadbir negara ini.

“Bila mandat diberikan oleh rakyat, BN boleh tubuhkan kerajaan yang mengandungi satu pasukan pentadbir yang baru, yang mempunyai pengalaman dalam pelbagai bidang profesional, bagi memantapkan tadbir urus negeri,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS