Unsur dendam dikenal pasti sebagai punca kematian seorang pemberi pinjaman wang atau ah long, yang ditetak dengan parang di hadapan sebuah kopitiam di Bandar Baru Bukit Tinggi Klang, Selangor pada 6 Nov lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di Sepang hari ini, berkata mangsa dan suspek yang terlibat adalah daripada dua kumpulan kongsi gelap berbeza yang berdendam sesama sendiri.
Rentetan kes tersebut beliau berkata pihaknya telah menahan 16 warga tempatan, berumur antara 30 dan 40 tahun dipercayai anggota Geng Kongsi Gelap 24 Cina, menerusi beberapa siri tangkapan di kawasan Lembah Klang, serta Ledang dan Muar di Johor.
Dalam kejadian pada 6 Nov itu, lelaki berusia 47 tahun itu dibunuh tiga lelaki dengan menggunakan parang, dan menurut Arjunaidi pihak polis telah menahan enam lelaki di sekitar Klang dan Banting pada hari kejadian.
“Mereka direman tujuh hari bermula 7 Nov untuk disiasat di bawah Akta Pertubuhan 1966, sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis pada 13 Nov lepas,” katanya.
Arjunaidi (gambar, atas) berkata hasil maklumat yang diperoleh daripada penahanan itu, pihaknya menjalankan tangkapan di Bandar Baru Seri Petaling pada 10 Nov lepas melibatkan tiga lelaki dan dua wanita yang kini direman selama 13 hari, bermula 11 Nov lepas.
Katanya, polis turut menahan menahan empat lelaki pada 11 Nov lepas di Johor yang kini direman sehingga 23 Nov ini.
Arjunaidi berkata, antara barangan yang dirampas daripada penahanan di Bandar Baru Seri Petaling itu ialah pakaian yang dipakai suspek ketika kejadian dan wang tunai berjumlah RM19,198, dipercayai duit upah kepada suspek.
“Hasil soal siasat dimaklumkan lokasi pembakaran pakaian dan pembuangan senjata yang digunakan ketika kejadian.
"Senjata dibuang dari Jambatan Kota, Klang,” katanya.
Beliau berkata penahanan 16 individu itu dan rampasan barang bukti telah membantu pihak polis dalam menyelesaikan kes tersebut dan laporan hasil siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk tindakan selanjutnya.
- Bernama