Bekas perdana menteri Najib Razak secara sinis menyoal jika dia boleh menggunakan ruang pejabat di Yayasan Kepimpinan Perdana, (PLF) yang menempatkan seteru politiknya, Dr Mahathir Mohamad.
Yayasan di Putrajaya itu adalah bangunan milik persendirian, yang digunakan Dr Mahathir sebagai pejabat operasinya.
Bagaimanapun, dia mendakwa bangunan itu adalah untuk kegunaan semua bekas perdana menteri.
Isu penggunaan ruang pejabat di PLF timbul selepas Najib memutuskan untuk menarik balik permohonannya untuk mendapatkan sebidang tanah dan rumah kerajaan sebagai sebahagian daripada kelayakannya sebagai bekas perdana menteri.
Mahathir berkata bahawa dia tidak menerima sebarang anugerah tanah selepas meletak jawatan.
Ditanya mengenai perkara ini pada sidang media hari ini, Najib menjawab: "Saya tidak tahu cerita sebenar".
“Tapi dia ada kata Yayasan Perdana itu boleh digunakan oleh semua PM. Mungkin dia nak jemputkan saya guna Yayasan Perdana kut.
“Boleh juga saya pakai, sehari dua. Kalau banding dengan yayasan itu dengan pejabat saya, orang kata jauh panggang dari api,” katanya sambil tersenyum sinis.
Beliau menambah bahawa pejabatnya sekarang - sebuah banglo yang disewa di Bukit Pantai - tidak begitu sesuai jika dibandingkan dengan PLF.
Pada tahun 2016, Majlis Tertinggi Umno - diketuai oleh Najib - telah memutuskan untuk menarik balik pembiayaan kerajaan kepada PLF ketika pertelingkahan antara kedua-dua pemimpin itu.
Bagaimanapun, yayasan itu berkata ia tidak menerima sebarang dana atau pembiayaan daripada kerajaan, kecuali sewa untuk ruang pejabat Mahathir yang dibayar oleh kerajaan pada masa itu..
Tidak jelas sama ada kerajaan sekarang masih membayar sewa pejabat Mahathir.