Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah, Bersatu pula selar permohonan rumah RM100 juta Najib
Diterbitkan:  Nov 19, 2021 12:00 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Sehari sebelum hari mengundi bagi PRN Melaka, Presiden Amanah Mohamad Sabu menggesa rakyat negeri itu membuat pilihan sewajarnya dengan membangkitkan isu permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk tanah dan rumah bernilai RM100 juta yang sedang dipertimbang kerajaan.

Mohamad menyelar permohonan itu yang menurutnya dibuat di saat rakyat bergelut dengan penggangguran dan kehilangan kerja ekoran wabak Covid-19.

Dia berkata, perkara itu adalah tidak munasabah apatah lagi Najib telah disabit bersalah dan dijatuhkan hukuman, sedangkan bekas perdana menteri sebelumnya "hidup dengan pencen dan wang imbuhan yang kecil".

Untuk rekod, Najib kini sedang dalam prosesn rayuan terhadap sabitan kes rasuah RM42 juta dana SRC International.

“[...] Bayangkan betapa besar impak jumlah yang perlu dibelanjakan sejak 2017 hingga 2020 untuk membiayai kerugian skandal 1MDB dan SRC di bawah pentadbiran Najib," katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib bersama Ismail ketika berkempen di Melaka

Justeru, Mohamad menyeru rakyat Melaka untuk menyuarakan bantahan terhadap perkara itu dengan menterjemahkannya dengan menolak BN dan PN - gabungan yang memerintah di peringkat persekutuan - dalam dalam PRN yang akan berlangsung esok.

“[...] Kita menyeru rakyat Melaka untuk menterjemahkan penolakan pembaziran dan penggunaan wang rakyat untuk kepentingan peribadi pemimpin BN atau PN.

"Kita berharap rakyat Melaka akan memulakan pemerintahan yang baru dipimpin oleh Adly Zahari untuk tempoh lima tahun akan datang menerusi kemenangan yang diberikan kepada calon PH Sabtu ini," katanya lagi.

Isu itu timbul apabila Mahathir di Parlimen mempersoalkan bagaimana hadiah itu tidak disebut dalam belanjawan negara, yang kemudiannya dijelaskan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa permohonan itu dibuat selepas Belanjawan 2022 dibentangkan.

Zahrul mengesahkan kabinet menerima permohonan itu dari Najib yang sedang menunggu untuk “dimukamadkan” oleh jemaah menteri, menyebabkan dia dipersoal segelintir wakil rakyat apakah itu bermaksud keputusan atau persetujuan awal diberikan terhadap permohonan itu.

Najib kemudian mengaku membuat permohonan itu namun menegaskan dia hanya membuat permohonan biasa kepada semua bekas perdana menteri di bawah Akta Ahli Parlimen Saraan 1980 pindaan 2003, dan ia sudah dibuat sejak 2018 selepas PRU ke-14.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyusuli Pengerusi PH Anwar Ibrahim dengan berkata walaupun telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, pihaknya tetap menolak permohonan tersebut.

"(Ini) kerana kita mendapati perdana menteri terlalu lemah dan penakut serta tidak berani untuk melindungi kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Semalam, Anwar berkata PH akan mengkaji semula semua MOU tersebut ekoran pengesahan bahawa kerajaan ada menerima permohonan daripada Najib.

Menurut Anwar rakyat tidak dapat lupa bagaimana Najib mengakibatkan kerajaan dan rakyat menanggung hutang yang tinggi akibat skandal 1MDB.

Wan Saiful Wan Jan

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mencabar Pengerusi Umno Melaka yang juga calon di kerusi DUN Tanjung Bidara, Ab Rauf Yusoh untuk mengkritik apa yang disifatkannya sebagai kerakusan Najib.

Katanya, Najib memang benar-benar “beriman dan beramal” dengan perangai “malu apa” yang dibawanya, sehingga bersikap tidak tahu malu untuk “merompak duit rakyat”.

“Jika Datuk Seri Rauf diam, maka saya anggap dia dan BN menyokong sifat tamak dan rakus Najib. Apa jaminan Rauf tidak akan meniru ketamakan Najib?

“Rakyat Melaka sudah pasti boleh menilai sikap tokoh BN. Ada di kalangan mereka tidak pernah berubah.

“Saya yakin rakyat Melaka bijaksana dalam memilih pada Sabtu nanti,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS