Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Sehari sebelum memilih: Perjudian politik, kaum dan rasa tak endah pengundi

PRN MELAKA | Tempoh 12 hari kempen untuk PRN Melaka bakal berakhir tengah malam ini dan penduduk Melaka akan memilih kerajaan baru mereka esok.

Menghampiri saat itu, tiga gabungan politik utama yang bersaing, iaitu BN, PN dan PH, membuat pecutan terakhir.

Misalnya PN yang mengambil gaya pembangkang dengan membuat langkah simbolik meraih sokongan di saat berdepan jentera BN yang kuat, iaitu dengan mengumumkan calonnya bagi kerusi DUN Tanjung Bidara, Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri.

Pengumuman itu dibuat semalam, iaitu dua hari sebelum hari mengundi.

Jika PN menang, Mas Ermieyati bakal menjadi ketua menteri wanita pertama.

Sementara itu, PH yang bermula goyah apabila terpaksa meredakan rasa tidak puas hati akar umbi kerana mencalonkan bekas pemimpin Umno, dilihat bertambah yakin dengan mula bergerak melangkaui penyokong teras mereka.

PH menjadikan populariti bekas ketua menteri Adly Zahari, yang juga calon ketua menteri kali ini, sebagai senjata. Pada Rabu lalu, dialog antara Adly dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng diadakan dan mereka menjawab serangan bernada perkauman terhadap gabungan itu.

"Kita beri keyakinan kepada rakyat yang perubahan mesti dibuat berdasarkan isu-isu berkaitan dengan kehidupan mereka," kata Adly, sambil menambah rakyat ada kala terlupa yang "wang negara dicuri, lupa perut mereka lapar" apabila sentimen dimainkan.

Walaupun dengan populariti Adly, politik kaum kekal sebagai isu utama, termasuk di kawasannya sendiri di Bukit Katil.

Adly Zahari

"Adly bagus," kata peniaga apam balik berusia 35 tahun, Mohd Afifi, yang merupakan penyokong BN. "Cuma (orang) bawah dia, anda tahu perangai mereka," tambahnya, merujuk DAP.

Pada masa sama, ramai juga pengundi yang berkata mereka akan terus menyokong Adly. Dia menang dengan majoriti 3,159 undi pada PRU lalu.

Undi berasaskan kaum

Bagaimanapun, pengundian berasaskan kaum boleh memainkan peranan lebih signifikan di kawasan-kawasan sengit.

PN menggunakan sentimen seumpama itu untuk meraih kelebihan dengan meletakkan calon Melayu di kerusi majoriti Melayu, di saat calon bukan Melayu mewakili PH dan MCA.

Ini dapat dilihat di Gadek, Kelebang dan Bemban - ketiga-tiganya disandang PH.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengakui ia merupakan antara strategi mereka, ketika ditanya berkenaan pencalonan Dr Yadzil Yaakub di Bemban.

Dr Yadzil Yaakub

Yadzil berdepan Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew yang mewakili PH, dan Koh Chin Han dari MCA yang mewakili BN dan dua calon bebas, Azmi Kamis dan Ng Choon Koon.

Satu lagi kerusi yang menggunakan strategi itu adalah Gadek. PN meletakkan Mohd Amir Fitri Muharam (Bersatu) bagi melawan VP Shanmugam (BN) dan G Saminathan (PH). Saminathan, dari DAP, adalah penyandang kerusi itu.

"Tentulah saya akan undi calon Melayu. Sebab pentadbiran negara dalam keadan baik ketika Abah (Muhyiddin) memimpin," kata pekerja kedai berusia 25 tahun di Gadek yang hanya ingin dikenali sebagai Raihan.

"Dulu saya sokong BN, tetapi ketika itu tiada pilihan lain. Sekarang kita ada satu lagi parti Melayu," katanya lagi.

Selain Gadek, Kelebang dan Bemban, MCA juga menyerahkan kerusi Duyong kepada Umno, yang mencalonkan Mohd Noor Helmy bagi melawan penyandang dari PH, Damien Yeo. PN pula mencalonkan Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamarudin Sidek.

Kesemua ini adalah kerusi majoriti Melayu tetapi dengan pengundi bukan Melayu yang agak besar.

Pengundian berdasarkan sentimen juga boleh dilihat dalam komuniti Cina, terutama di Machap Jaya. Sejumlah pengundi yang ditemui Malaysiakini di sana berkata mereka tidak akan menyokong calon PN Tai Siong Jiul, yang menyertai Bersatu bulan lalu.

Mereka membangkitkan keselesaan Tai dengan parti Melayu dan juga usaha PAS untuk mengharamkan kedai loteri dan judi. PAS bekerjasama dengan Bersatu dalam PN.

Jumlah mengundi faktor penting

Ia di sebalik sebahagian pengundi yang menyuarakan rasa kecewa apabila PKR menggugurkan penyandang kerusi Machap Jaya, Ginie Lim. Mereka yang masih kecewa dengan perkara itu berkata lebih cenderung untuk menyokong BN berbanding PN.

Ginie Lim dan Anwar Ibrahim

"Ginie banyak buat kerja di sini...Dia ambil bahagian dalam acara setempat dan tinggal di sini. Ketika program vaksinasi, dia tempah bas setiap hari untuk bawa kami dapatkan vaksin.

"Tapi sekarang saya rasa mungkin BN lebih sesuai. Pasukan mereka lebih berpengalaman dan efisien ketika berkhidmat kepada penduduk," kata seorang pengundi berusia 60 tahun yang enggan dinamakan.

PH mencalonkan Law Bing Haw manakala BN mencalonkan Ngwe Hee Sem.

Tetapi ramai penyokong PH masih melihat "gambaran lebih besar" dan di sebalik rasa kecewa dengan pengguguran Lim mahupun dengan runtuhnya kerajaan persekutuan PH pada 2020, mereka kekal menyokong gabungan itu.

Isunya adalah sama ada mereka sanggup mengatasi rasa hampa itu, dan juga penularan Covid-19, untuk keluar mengundi Sabtu ini.

Seorang pengundi berusia 38 tahun di sebuah kampung Cina di Machap Jaya berkata, tempat tinggalnya adalah perkampungan kecil dan hanya ada 80 pelajar di SJK(C) di sana ketika dia menamatkan persekolahan.

"Hanya ada kira-kira 10 orang yang masih di sini, yang lain berniaga di Singapura, Kuala Lumpur dan Johor. Kebanyakannya kata mereka tak akan balik mengundi," kata penjaga kedai yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Boon.

Ah Boon juga menyuarakan kekecewaan terhadap PH namun berkata dia akan kekal menyokongnya dan memuji Adly.

Pengarah Program Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata daripada 28 kerusi DUN di Melaka, 10 kerusi cenderung ke arah BN dan PH manakala lapan lagi sukar diramalkan.

Ibrahim Suffian

"Ada lapan kerusi yang terlalu rapat (sengit) untuk lihat mana-mana pihak ada kelebihan yang terlalu besar," katanya. Bagi kedua-dua gabungan, jumlah keluar mengundi boleh menjadi faktor utama, katanya lagi.

Pada beberapa hari terakhir kempen, PH giat meyakinkan pengundi luar untuk pulang. Gabungan itu cenderung untuk bergantung kepada pengundi muda, yang kebanyakannya tinggal di luar.

Sementara PH berusaha mempertahankan kerusi yang disandang, BN juga berdepan cabaran di beberapa kerusi tradisionalnya.

Misalnya di Tanjung Bidara, di mana PN meletakkan calon 'heavyweight' Mas Ermieyati untuk berdepan Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh. PH pula mencalonkan Zainal Hassan.

Bekas ketua menteri dari BN, Sulaiman Md Ali juga menyaksikan majoriti di kerusinya iaitu Lendu merosot daripada 2,503 pada 203 kepada 627 pada 2018.

Sementara itu, PH mempertaruhkan bekas pemimpin Umno, Idris Haron dan Nor Azman Hassan di Asahan dan Pantai Kundor.

Langkah berisiko

Usaha yang diambil untuk menghadapi BN ini membawa risiko yang agak besar kepada kepimpinan PH dan PN.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim misalnya mengambil risiko politik yang besar untuk mempertahankan keputusan mencalonkan bekas pemimpin Umno, yang dilihat satu keputusan yang tidak popular.

Tapak sokongan PH mungkin dapat mengabaikan keputusan kontroversi itu jika ia membuahkan hasil. Namun kegagalan akan terus merosotkan lagi kewibawaan Anwar, yang telah terjejas sebelum ini ekoran dakwaannya memiliki majoriti di Parlimen.

Sementara itu, Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi PN, Abdul Hadi Awang melawan sentimen dalam parti apabila berpihak kepada Bersatu dan bukannya bekerjasama dengan Umno.

Abdul Hadi Awang

Kalangan yang mengkritik keputusan Hadi bagaimanapun tersingkir dalam pemilihan PAS awal bulan ini.

Jika PN gagal dalam usaha melawan BN, ia akan terus meningkatkan rasa tidak puas hati dalam PAS terhadap Hadi.

PN tidak perlu meraih majoriti namun sekurang-kurangnya perlu menang cukup kerusi dan menggagalkan usaha BN untuk menubuhkan kerajaan negeri secara sendiri. Ia akan memaksa Umno kembali ke meja rundingan bersama Bersatu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi enggan bekerjasama dengan PN dalam usaha menamatkan parti serpihannya, Bersatu.

Zahid juga ingin meraih kemenangan besar untuk mendiamkan seteru dalam parti yang ingin menubuhkan gabungan besar kepada PN - seterusny memberi talian hayat kepada Bersatu.

Jika DUN tergantung

Ibrahim berkata ada kemungkinan keputusan PRN ini sama dengan PRU 2018, di mana kalaupun ada gabungan yang mendapat majoriti, ia hanya majoriti tipis.

Dia berkata jika berlaku DUN tergantung, BN mungkin terpaksa sekali lagi bekerjasama dengan PN. Ini kerana kedua-duanya sudah bekerjasama di peringkat persekutuan, di sebalik ketegangan yang ada.

Ini bermakna PH dalam keadaan merugikan jika ia berlaku, dan perlu mendapat majoriti secara sendiri jika ingin kembali mentadbir negeri.

Ada satu pengecualian - jika PH dan BN meraih jumlah kerusi yang sama dan PN kalah di semua kerusi.

Melangkah ke hadapan, Ibrahim berkata PRN Melaka adalah ujian litmus buat kemampanan PN, kayu ukur sama ada BN telah meraih semula sokongan atau tidak dan bagaimana ia akan menakrifkan hubungan antara gabungan politik di masa akan datang.

Pengundi akan memilih 28 wakil rakyat di DUN esok. Sekurang-kurangnya 15 kerusi diperlukan untuk majoriti mudah.

Laporan oleh Hariz Mohd, Low Choon Chyuan, Yasmin Ramlan, Raveena Nagotra dan Phung Wie Yie Wen


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS