Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hospital di Sabah kurangkan ubat kerana bekalan kurang
Diterbitkan:  Nov 18, 2021 9:27 PM
Dikemaskini: Nov 19, 2021 2:32 AM

Hospital Queen Elizabeth II (HQE2) di Kota Kinabalu terpaksa mengurangkan bekalan ubat kepada pesakit memandangkan stok bekalan semakin berkurangan.

Portal berita berbahasa Inggeris, Daily Express melaporkan pihak hospital akan terus berbuat demikian selama dua minggu sehingga stok baru tiba.

Jurucakap hospital itu memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keadaan itu hanyalah untuk sementara waktu.

"Kami sedang dalam proses mendapatkan stok baru daripada pembekal kami.

“Sementara itu, kami mengambil langkah untuk memantau dan mengawal bekalan semasa bagi mengurangkan pembaziran,” kata jurucakap itu dipetik Daily Express.

Dia berkata langkah itu bagi memastikan bekalan ubat mencukupi untuk semua pesakit yang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Sebelum ini, pesakit biasanya akan menerima bekalan ubat sehingga sebulan pada satu-satu masa.

Jurucakap itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan sesetengah pesakit akan menerima bekalan ubat melebihi dua minggu, dengan mengatakan mereka memperuntukkan bekalan berdasarkan kes demi kes.

"Kami sedang berusaha keras untuk mengatasi pengurangan bekalan ubat dan berharap untuk sekali lagi menyediakan bekalan ubat selama sebulan kepada pesakit menjelang akhir tahun ini," tambah jurucakap itu.

Sementara itu, seorang individu yang dikenali sebagai Ritchie, memberitahu portal berita berkenaan bahawa dia terkejut menerima bekalan ubat hanya untuk tempoh dua minggu.

Lelaki itu diberitahu untuk kembali ke hospital apabila bekalan ubatnya kehabisan.

Dia berasakan keadaan itu akan menjadikannya lebih berisiko dijangkiti Covid-19 kerana perlu kerap ke hospital.

"Seperti yang kita semua tahu, saya dalam kumpulan berisiko tinggi. Saya rasa terlalu berisiko untuk pergi ke HQE2 sedangkan saya sendiri tahu saya terdedah untuk dijangkiti penyakit ini," kata lelaki berusia 72 tahun itu dipetik sebagai berkata.

Untuk itu, jurucakap hospital berkata pihak hospital tidak dapat menyediakan khidmat farmasi pandu lalu seperti di Hospital Queen Elizabeth I kerana kekurangan ruang.

“Semakan dalam senarai ubat yang diterima pesakit ini juga menunjukkan ia dalam bentuk cecair dan sensitif kepada suhu.

"Ini menghalangnya daripada menggunakan perkhidmatan "ubat melalui pos" kami," katanya merujuk kepada penghantaran ubat melalui perkhidmatan kurier.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS