Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sanusi mohon maaf, saran mufti nasihat P Pinang haramkan judi
Diterbitkan:  Nov 18, 2021 6:06 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf kepada Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berhubung kenyataan terdahulunya yang mengaitkan kegiatan judi nombor ekor dengan Pulau Pinang.

Katanya, dia menerima teguran Wan Salim kepadanya, lebih-lebih lagi mufti berkenaan pernah menjadi pensyarahnya ketika di universiti.

Namun Sanusi menjelaskan kenyataannya itu bukanlah bermaksud untuk menghina Pulau Pinang.

“(Jika) Dia ada terasa hati saya minta maaflah pada mufti Pulau Pinang. Dia pensyarah saya di USM (Universiti Sains Malaysia). Saya terima teguran dia, terima kasih.

“Bukanlah bermaksud nak menyatakan Pulau Pinang tu darul judi, tapi kalau Pulau Pinang tak mengharamkan premis perjudian, jadi siapa-siapa nak beli (nombor ekor) boleh beli di Pulau Pinanglah, sebab dia ada premis yang beroperasi.

“Di Kedah, bila kita dah tamatkan semua operasi, premis-premis perjudian ditamatkan lesen, tak dapat beroperasi, mereka bolehlah pergi ke tempat mana yang beroperasi, termasuklah di Pulau Pinang.

“Itulah maksud saya, bukanlah saya nak menghina negeri Pulau Pinang, tidak,” katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Pada Isnin lalu, Wan Salim menasihati Sanusi agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kontroversi dengan pemimpin negeri lain, ekoran kenyataannya sebelum itu yang mengaitkan judi dan Pulau Pinang.

“Kerajaan tidak akan beri lesen (baru), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang,” Sanusi dipetik berkata.

Sanusi berkata demikian ketika mengumumkan Kedah bakal mengharamkan operasi semua kedai nombor ekor dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Wan Salim menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak wajar dan mendukacitakan, dan merupakan satu penghinaan terhadap pelbagai institusi agama Islam di Pulau

Pinang yang sentiasa komited kepada usaha-usaha bagi memartabatkan kedudukan Islam.

Pun begitu, dalam sidang media tadi, Sanusi sempat menyarankan agar Wan Salim selaku mufti, menasihati kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengikut langkah Kedah.

“Saya rasa dia patut nasihat Pulau Pinang untuk buat langkah yang sama jugalah macam Kedah buat (mengharamkan kedai nombor ekor).

“Dia mufti. Saya murid dia saja, dia guru saya,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS