Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
DUN Terengganu lulus enakmen larangan penjualan telur penyu
Diterbitkan:  Nov 18, 2021 5:55 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebulat suara meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021), yang antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan spesies hidupan marin itu.

Semasa membentangkan enakmen tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim berkata ia bertujuan melindungi dan mengelakkan kepupusan semua spesies penyu termasuk tuntung laut.

“Ia perlu dipinda supaya pengharaman penjualan semua spesies penyu dapat dikuatkuasakan dan melarang sama sekali mana-mana individu daripada memiliki hidupan laut tersebut kecuali bagi tujuan yang dibenarkan,” katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas sesi persidangan DUN, Dr Azman berkata pindaan tersebut akan dikuatkuasakan bermula 1 Jun tahun depan, yang turut melibatkan larangan penjualan telur penyu untuk semua spesies.

“Berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, Terengganu satu-satunya negeri yang membenarkan penjualan telur penyu. Sebelum ini, hanya telur penyu belimbing sahaja yang tidak dibenarkan untuk dijual, tetapi penyu spesies itu sudah lima atau enam tahun tidak kelihatan lagi mendarat di mana-mana pantai di Terengganu. Jadi enakmen sebelum ini sudah tidak relevan lagi,” katanya.

Pindaan enakmen tersebut juga melibatkan kadar denda yang lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu iaitu RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini.

Selain itu menurutnya, Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) juga akan mewajibkan semua bot pelancong memasang pelindung kipas bot bagi mengelakkan kematian penyu.

“Selepas ini bot yang membawa pelancong untuk tengok penyu dan sebagainya perlu ada pelindung kipas sebab banyak kes penyu mati terkena kipas bot. Haiwan ini jinak, apabila bot datang dia (penyu) pun berenang dekat dengan bot, tetapi pemandu bot tidak sedar ada penyu di bawah bot,” katanya.

Dalam pada itu, pindaan enakmen tersebut juga membolehkan penubuhan Tabung Amanah Pemeliharaan Penyu bertujuan menjalankan aktiviti pendidikan dan pemuliharaan, selain membeli semula telur-telur penyu daripada pemajak ekoran penguatkuasaan larangan penjualan telur penyu.

Beliau juga percaya larangan penjualan telur penyu bagi semua spesies tidak mendatangkan implikasi besar kepada penjual memandangkan aktiviti tersebut hanya pendapatan sampingan mereka.

- Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS