Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis klasifikasi kes kematian Kapten Affendi sebagai mati mengejut

Polis mengklasifikasikan kes kematian juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Mohamad Affendi Bustamy dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Selasa lepas sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika ini pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu termasuk akan merekodkan keterangan daripada seorang juruterbang yang terselamat, Mejar Mohd Fareez Omar, 33, yang sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya.

"Setakat ini, polis menyiasat kejadian itu sebagai SDR namun kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya. Siasatan lain termasuk dari segi teknikal dikendalikan oleh pihak tentera, kami serahkan kepada mereka (pihak tentera).

"Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pakar perubatan forensik Pulau Pinang, hasil bedah siasat kematian juruterbang TUDM (Mohamad Affendi) adalah disebabkan oleh pelbagai kecederaan yang konsisten dengan nahas udara," katanya.

Mohd Shuhaily berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Ramli Din di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

Dalam kejadian pada 10.07 malam itu, Allahyarham Mohamad Affendi, 31, dan Mohd Fareez sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.35 malam sama yang memaklumkan sebuah pesawat pejuang TUDM terhempas di Pangkalan Udara Butterworth.

Dia berkata siasatan awal mendapati pesawat dikendalikan dua juruterbang itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Pangkalan Udara Butterworth untuk melaksanakan latihan penerbangan malam.

"Latihan itu dilaksanakan di ruang udara Pangkalan Udara Butterworth dan sesi latihan dikatakan telah berlangsung selama satu jam sebelum pesawat tersebut terhempas dan meletup.

"Kedua-dua juruterbang itu sempat keluar dari pesawat dengan menggunakan kerusi anjal namun seorang daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah," katanya.

Sementara itu, dia berkata Polis Diraja Malaysia sentiasa berusaha untuk menaik taraf mana-mana IPD dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen di seluruh negara dari semasa ke semasa dengan keutamaan terhadap IPD yang keperluannya 'mendesak'.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS