Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undi siapa Sabtu ini? Rasanya katak puru lebih baik, kata Kadir

ULASAN l Banyak pihak mencadangkan agar pemilih, khususnya dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November ini, tidak mengundi parti atau calon katak.

Sejak selepas Pilihan Raya Umum 2018 lalu, perbuatan melompat parti menjadi begitu berleluasa sehingga susah hendak dibezakan antara satu dengan yang lain. Macam katak lompat masuk kubang kerbau apabila dikejutkan. Ada macam-macam jenis katak dan cara melompat.

Ada lompat dari satu parti ke parti yang lain kerana dijanjikan ganjaran atau melihat katak-katak yang terdahulu mendapat habuan lumayan setelah melompat.

Kalau sudah lama keluar parti secara rasmi atau dipecat kemudian masuk parti lain atau tubuh parti baru, tidak termasuk dalam kategori lompat.

Tapi bawa parti keluar daripada sesuatu pakatan setelah menang pilihan raya, seperti yang dibuat oleh Mahiaddin Md Yasin terhadap Pakatan Harapan, bukan saja lompat tapi adalah konspirasi politik yang keji.

Dalam Pilihan Raya Umum lalu, Mahiaddin melalui PH berlawan dengan Barisan Nasional dan PAS. Bila menang dan jadi kerajaan, dia bersubahat dengan musuh untuk jatuhkan kerajaan PH yang pilihan oleh rakyat jelata.

Mereka tubuh kerajaan di peringkat pusat kerana habuan dan ganjaran cukup lumayan. Tetapi di peringkat negeri mereka berentapan kerana berebut pasir, balak, dedak dan melukut.

Dalam masa 17 bulan geng kleptokrat dan kluster mahkamah Umno khianati Mahiaddin untuk naikkan Ismail Sabri Yaakob. Di Melaka Umno jatuhkan Umno kerana berebut pasir dan projek. Umno masih belum berubah walaupun sudah kalah.

Sekarang dua bekas Adun Umno Melaka yang jatuhkan kerajaan negeri jadi calon PH. Kalau mereka "desperate", PH pun lebih kurang. PKR dan Amanah kata ok, tapi DAP tidak berapa puas hati.

Jadi siapakah yang hendak diundi dan ditolak oleh pemilih Melaka Sabtu ini? Ahli Parlimen Umno/BN Pengerang, Johor Azalina Othman Said kata tolak katak. Masalahnya sedikit sebanyak semua yang bertanding ada ciri-ciri katak.

Cuma kalau dibandingkan katak dan berudu yang disokong oleh geng kleptokrat dan kluster mahkamah, rasanya katak puru lebih baik. Katak puru tidaklah kuat sangat melompat.


A KADIR JASIN ialah tokoh wartawan. Tulisan ini disiarkan kali pertama di media sosialnya dengan tajuk “Banyak jenis katak dalam PRN Melaka”.

Tulisan ini adalah pandangan peribadinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS