Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad anggap pembuat surat palsu Umno 'goblok'
Diterbitkan:  Nov 18, 2021 2:58 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

PRN MELAKA | Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan hari ini menganggap pihak yang menularkan imej surat palsu kononnya dikeluarkan pihaknya sebagai goblok (bodoh).

Memberikan reaksi melalui media sosial ahli parlimen Pontian itu turut menjelaskan mengapa 'surat' tersebut bukan tulen.

"Mana ada surat kepada yang dialamatkan, dan salinan kepada (SK) ditujukan sama orangnya. Tentulah surat ini palsu.

"Goblok betul yang buat surat fake (palsu) ini," katanya di Twitter.

Terdahulu tular imej yang menunjukkan imej surat didakwa dikeluarkan Ahmad kepada ketua-ketua bahagian Umno serta setiausaha mereka di Melaka mengenai calon ketua menteri.

Menurut 'surat' tersebut berlaku kekeliruan mengenai calon ketua menteri dari Umno-BN iaitu melibatkan penyandang, Sulaiman Md Ali, dengan pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh.

Pada bahagian bawah 'surat' tersebut terdapat tandatangan Ahmad, diikuti dengan senarai SK kepada ketua-ketua bahagian serta setiausaha Umno Melaka.

Ia muncul ketika hari mengundi semakin menghampiri dan orang ramai di Melaka akan membuat pilihan masing-masing bagi menentukan kerajaan baru di negeri tersebut.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS