KES 1MDB NAJIB | Ismee Ismail berkata dia meletakkan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah 1MDB kerana risau dengan keputusan melibatkan syarikat itu di masa hadapan.
Ketika perbicaraan rasuah terhadap Najib berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Ismee yang merupakan saksi pendakwaan ke-13 mendakwa dia bimbang akan hal ehwal syarikat itu.
Ismee, yang bekerja di 1MDB selama tujuh tahun, berlum 2009 hingga 2016, memberi keterangan ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib.
"Saya, selaku ahli lembaga pengarah, menyerahkan surat letak jawatan pada Jun 2015. Keputusan itu dibuat atas faktor kebimbangan dan saya tidak mahu terlibat lagi dalam keputusan yang dibuat syarikat pada masa akan datang.
"Amhari meminta saya tangguhkan keputusan kerana ketika itu pilihan untuk mengubah seluruh lembaga pengarah sedang dipertimbangkan.
"Namun pada 2016 kesemua kami dalam lembaga pengarah dan pengurusan 1MDB menyerahkan surat letak jawatan selepas ahli lembaga pengarah dan pengurusan baru dilantik," katanya.
Amhari, yang merupakan bekas pegawai khas Najib, menjadi saksi pendakwaan kelapan dalam perbicaraan ini.
Najib dihadapkan dengan empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.
Ketika itu dia menjadi perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
1MDB adalah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).