PRN MELAKA | Calon ketua menteri Melaka dari BN, Sulaiman Md Ali, berpendapat komuniti nelayan di Melaka tidak perlu bimbang terhadap projek tambakan laut dalam projek Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ) yang dirancang kerana ia tidak akan menjejaskan pendapatan mereka.
Katanya jika BN menjadi kerajaan mereka akan memastikan nelayan terbabit tetap memperoleh tangkapan dan ia akan diambil kira semasa projek itu dilaksanakan.
"Saya pun bukannya nak tambak sampai ke Indonesia. Hanya 1.5km, macam mana (nelayan) hilang pendapatan?
"Kita (BN) akan siapkan untuk nelayan terbabit jeti yang lebih baik, lebih canggih lagi," katanya kepada media semasa ditemui di Ayer Keroh hari ini.
Sulaiman yang bertanding di DUN Lendu sebelum itu ditanya mengenai kebimbangan nelayan pesisir pantai mengenai masa depan mereka jika projek M-WEZ itu diteruskan.
BN menyenaraikan projek M-WEZ dalam manifesto mereka dan mendakwa ia boleh menyediakan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.
Mengikut perancangan projek berkenaan dilaksanakan sepanjang 33km dari pantai Sungai Udang dan berterusan di sepanjang kawasan Pantai Kundor hingga ke Kelebang, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hidir, Telok Mas dan utara Serkam.
Kalau tak lulus takkan bina
Melalui M-WEZ sejumlah kawasan pantai ditambak sehingga jauh ke laut bagi menyediakan tapak pembangunan termasuk sebuah pelabuhan, kawasan perniagaan, perbandaran dan pusat logistik.
Ditanya mengenai kemungkinan nelayan sedia ada tidak mampu menangkap ikan jauh ke tengah laut kerana kekangan peralatan, Sulaiman menegaskan, kerajaan akan tetap menyediakan kawasan pantai.
"Tak ada apa yang perlu dibimbangkan mengenai itu," katanya.
Sulaiman juga berkata projek itu masih dalam perancangan dan akan ada tempat menangkap ikan untuk nelayan berkenaan. Malah tambahnya mereka akan tetap boleh mencari rezeki semasa projek itu sedang dilaksanakan.
Katanya ketika ini pun nelayan masih mendapat tangkapan masing-masing walaupun projek pembinaan sedang dilaksanakan.
Dia juga berkata M-WEZ sudah mempunyai Penilaian Kesan Perikanan (FIA) dan mematuhi syarat yang ditetapkan agensi berkaitan termasuk penilaian kesan sosial (SIA) dan penilaian kesan kesihatan (HIA).
"Hanya selepas semuanya dapat kelulusan baru boleh bina. Kalau tak lulus mana kami boleh bina?" katanya lagi.
Cuma jenamakan semula
Sulaiman yang sebelum ini mengetuai kerajaan negeri sebelum dijatuhkan pada 4 Okt lalu berkata projek M-WEZ itu bukanlan sesuatu yang baru sebaliknya kerja-kerja menambak laut sudah ada sebelum ini dan sekarang hanya dijenamakan semula.
"Saya dah sebut, kawasan itu lebih kurang (seluas) 11,000 ekar. Yang telah diluluskan lebih 56 konsesi untukkerja-kerja tambakan laut.
"Sehingga hari ini, daripada 11,000 ekar yang ditambak baru 3,000 ekar. Yang dah dibanggunkan hanya 300 ekar.
"Maka pada saya, M-WEZ ini bukan perkara baru, (ia) telah diluluskan ketua-ketua menteri sebelum ini pun dah luluskan, tetapi tak ada perancangan yang rapi, tak ada penyelarasan langsung.
"Macam mana nak bina, macam mana nak tambak, sebab master plan (pelan utama) tak ada," katanya.
Kerajaan negeri, katanya, tidak boleh menunggu lebih lama. Justeru menurut Sulaiman dia merangka dasar baru dan menjenamakannya semula sebagai M-WEZ.
Sulaiman juga berkata dia mahu Melaka membangun setaraf dengan Singapura dan Pulau Pinang dan tidak wajar dijadikan isu.
Tujuh ratus tahun dulu, katanya, Melaka merupakan sebuah negeri yang hebat tetapi kini ia tertinggal jika dibandingkan dengan Singapura dan Pulau Pinang walaupun ketiga-tiga wilayah itu mempunya keluasan yang sama.
"Singapura masih mengimport air dari Johor, Pulau Pinang import air dari Kedah. (Mereka) tak ada sumber sendiri, aktiviti pembalakan tak ada, perlombongan tak ada, mengapa mereka (Pulau Pinang dan Singapura) lebih maju?" katanya.
Sulaiman menambah Melaka yang terletak menghadap Selat Melaka perlu mengambil peluang yang ada untuk dibangunkan dan tidak wajar hanya menjadi negeri pelancongan pada hujung minggu saja.
"Kita nak diwariskan kepada anak cucu kita. Kita mesti berfikiran jauh ke hadapan untuk bangunkan Melaka ini," katanya.
Sulaiman juga menambah dia mahu nelayan Melaka lebih maju dengan mampu pergi menangkap ikan ke laut dalam.