Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ummah ramal PN mampu bentuk kerajaan Melaka
Diterbitkan:  Nov 17, 2021 3:43 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

PRN MELAKA | Gerakan Pembela Ummah (Ummah) meramalkan Perikatan Nasional (PN) akan memenangi kerusi majoriti di Melaka dan bakal membentuk kerajaan negeri selepas 20 Nov ini.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, berkata keyakinan mereka itu dibuat berdasarkan tinjauan lapangan yang dilakukan oleh "pasukan pemantau bebas" Ummah.

Katanya, untuk mengetahui kecenderungan pengundi, mereka mengadakan temu bual secara bersemuka di lima kawasan pilihan raya dan hasilnya menunjukkan pengundi cenderung memilih calon dan parti yang tidak terpalit rasuah.

"Temu bual dibuat secara rawak di lima bahagian (DUN) pilihan raya yang berumur antara 20 hingga 45 tahun selama sembilan hari yang melibatkan hampir 1,000 responden.

"Antara soalan yang ditanya ialah sikap pengundi kepada gejala rasuah dan pilihan sukaan kepada tiga pemimpin utama parti politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zai dapatan kajian tersebut menunjukkan 92 peratus daripada responden menolak gejala rasuah dan 54 peratus pula sukakan Presiden PN, Muhyiddin Yassin, kerana dianggap cakna kepada kebajikan rakyat semasa pandemik Covid-19.

Kesimpulannya kata Mohd Zai, pengundi mahukan pemimpin yang bersih dan tidak terpalit dengan gejala rasuah serta pemimpin yang cakna kepada kebajikan rakyat.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 Nov ini bagi memilih kerajaan baru untuk menerajui negeri itu. Untuk rekod ada 28 kawasan pilihan raya dipertandingkan dengan PN meletakkan calon di kesemua kerusi DUN.

Lapan daripada kerusi tersebut diwakili PAS.

Ia sekali gus menyaksikan pertembungan tiga parti utama di setiap kerusi iaitu BN, PN dan Pakatan Harapan (PH). Selain itu PRN Melaka turut disertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan sejumlah calon bebas.

Ummah - yang dilihat dekat dengan PAS - mendakwa PN antara parti yang komited menawarkan calon dan kerajaan yang bersih setelah semua calon yang bertanding membuat ikrar menentang rasuah.

"PN juga terbukti menjadi kerajaan yang cakna dan prihatin kepada kebajikan rakyat semasa pandemik Covid-19 dengan melancarkan program bantuan prihatin rakyat dan program Pemulih bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat.

"Jika berdasarkan kepada dapatan di atas tidak mustahil PN menjadi pilihan pengundi di PRN Melaka dan mampu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah atau pun parti yang mendominasi kerajaan negeri," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS