Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohamaddin Ketapi kekal sebagai Adun Segama - Speaker
Diterbitkan:  Nov 17, 2021 1:44 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Datuk Mohamaddin Ketapi kekal Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Segama walaupun beliau bertindak keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 30 Okt lepas, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M Yahya.

Kadzim berkata pada 30 Okt lepas juga beliau telah menerima emel daripada Mohamaddin berkenaan surat dan dokumen yang membatalkan segala dokumen akujanji yang tandatangani dengan Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lepas.

"Pada 1 Nov, pejabat saya terima surat dari sebuah firma guaman yang mengaku bertindak bagi pihak Mohamaddin, menyatakan perletakan jawatan beliau sebagai Adun Segama. Keesokan harinya pula, pejabat saya menerima surat dan akuan berkanun daripada Mohamaddin yang menafikan ada menandatangani surat perletakan jawatan yang dikemukakan pada 30 Okt.

“Beliau juga menafikan telah melantik firma guaman bagi pihaknya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kazim berkata beliau sendiri telah bertemu dengan Mohamaddin secara bersemuka semalam untuk menemu bual Adun Segama itu berhubung perkara berkenaan dan Mohamaddin menegaskan yang dia tidak meletak jawatan sebagai Adun.

"Saya juga terima surat perakuan daripada beliau yang mengatakan tidak pernah meletak jawatan dan saya juga ingin tegaskan, surat perletakan jawatan tanpa tarikh, jika mengikut undang-undang, ia tidak sah, jadi Mohamaddin kekal sebagai Adun Segama," katanya.

Pada 30 Okt lepas, Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu mengumumkan keluar daripada Warisan menjadi Adun bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipimpin Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor, namun kekal sebagai Ahli Parlimen bebas sepenuhnya.

Beliau adalah Adun ketiga Warisan yang keluar parti selepas Adun Sebatik Hassan A Gani Pg Amir dan Adun Sindumin Yusof Yacob.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS