Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ginie Lim anggap 'simpati Azmin' isyarat PN habis modal politik
Diterbitkan:  Nov 17, 2021 11:55 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Penyandang kerusi DUN Machap Jaya dari PKR, Ginie Lim menolak simpati ditunjukkan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali kepadanya kerana tidak dicalonkan sebagai calon dalam PRN Melaka kali ini untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Ini selepas Azmin yang kini pemimpin Bersatu, semalam mendakwa Lim menjadi mangsa dalam PKR apabila digugurkan kerana dilihat berpihak kepadanya.

Menyifatkannya kenyataan Azmin itu sebagai isyarat Perikatan Nasional “kehabisan modal politik” bagi mengalihkan tumpuan kepada isu rakyat, Lim menegaskan kesetiaannya adalah pada prinsip perjuangan parti dan bukan kepada individu.

“Walaupun saya tidak bertanding dalam PRN Melaka kali ini, saya tetap komited dengan agenda perjuangan PH, serta menyumbangkan tenaga dan idea dalam politik tanah air di bawah pimpinan Presiden PKR Anwar Ibrahim,” katanya di Facebook.

PKR mencalonkan Law Bing Haw sebagai calon PH di kerusi itu, bertanding dengan Ngwe Hee Sem (BN), Abdul Aziz Osani Kasim (Parti Perikatan India Muslim Nasional) dan Azlan Daud (bebas).

Tindakan menggugurkan Lim itu mengundang rasa tidak senang pemimpin akar umbi PKR, dan memaksa PKR untuk berusaha meredakan perasaan tidak enak dalam kalangan penyokongnya bagi tidak menjejaskan peluang mereka dalam PRN nanti.

Lim sebelum ini berkata dia menerima keputusan itu dan turut berkempen di Machap Jaya bersama-sama Anwar.

Bahkan, dalam hantarannya hari ini, dia turut meminta rakyat mempertahankan mandat pilihan raya umum (PRU) 2018 - yang berpihak kepada PH - dan menggesa penduduk Melaka untuk turun mengundi.

Lim turut menempelak Azmin kerana terlibat dalam Langkah Sheraton - yang mana Azmin dilihat sebagai salah seorang penggerak - dan bersekongkol dengan kleptokrat dan perasuah yang telah ditolak rakyat dalam PRU lalu.

Dia turut menasihati Azmin untuk kembali ke "haluan yang benar" dan tidak membenarkan dirinya terus "diperalat oleh perasuah".

“Amat menyedihkan bagi seorang yang kononnya memperjuangkan politik pelbagai kaum dan melawan rasuah lebih 20 tahun tetapi akhirnya terpaksa tunduk kepada acuan parti perkauman dan perasuah.

“Adalah lebih baik Azmin menyedari partinya parti Bersatu tidak lagi relevan untuk masa depan tanah air kita.

“Sepatutnya beliau kembali ke halatuju yang betul daripada membiarkan dirinya terus menjadi alat perasuah,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS