Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM tingkat penguatkuasaan selepas kes baru Covid-19 meningkat
Diterbitkan:  Nov 16, 2021 9:00 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menggiatkan usaha penguatkuasaan di seluruh negara susulan peningkatan kes Covid-19, kata ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata, Sektor Inspektorat dan Perundangan, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam (BPKA) telah mengeluarkan 280 kompaun dan menutup 63 premis bagi tempoh 7 November hingga 13 November.

"Kesalahan ini melibatkan kecuaian pematuhan SOP seperti kegagalan memakai pelitup muka, gagal mengamalkan penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri.

"Kegagalan individu menggunakan aplikasi MySejahtera atau mencatatkan nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 251 kompaun dikenakan kepada individu dan 29 kompaun kepada pertubuhan perbadanan.

Katanya, selepas dua tahun sejak wabak Covid-19 mula menular, orang ramai seharusnya sudah memahami kaedah pencegahan yang perlu diambil.

Ia termasuklah pemakaian pelitup muka secara betul pada setiap masa dan mengelakkan diri daripada berada di tempat sesak.

"Disiplin yang tinggi daripada setiap individu amatlah diperlukan bagi memastikan tiada lagi gelombang lain, lonjakan kes dan pertambahan kes," katanya lagi.

Menurut Nor Hisham, bagi tempoh 7 November hingga 13 November, jumlah kes aktif mencatatkan penurunan untuk minggu kesepuluh berturut-turut, begitu juga dengan jumlah kemasukan di ICU serta korban yang juga menurun.

Bagaimanapun, jumlah kes baru telah meningkat sebanyak 11 peratus berbanding minggu sebelumnya, iaitu daripada 35,303 kes pada minggu epidemiologi ke-44 kepada 39,181 kes pada minggu epidemiologi ke-45.

Nilai kebolehjangkitan juga meningkat ke paras lebih 1.00, yang menandakan penularan yang meningkat.

Jumlah pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2 tidak menunjukkan perubahan ketara bagaimanapun berlaku peningkatan bagi pesakit Kategori 3,4 dan 5 kecuali di Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor.

Pada masa sama, jumlah kluster baru bagi kategori tempat kerja dan institusi pendidikan juga meningkat walaupun jumlah kluster secara keseluruhan mencatatkan penurunan.

Terdapat 24 kluster tempat kerja baru ketika minggu epidemiologi ke-45 berbanding 18 kluster pada minggu sebelumnya, serta 11 kluster institusi pendidikan yang baru berbanding tujuh kluster pada minggu sebelumnya.

Noor Hisham mengaitkan peningkatan itu dengan peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, yang membenarkan lebih banyak tempat kerja dan sekolah dibuka semula.

"Dominasi kluster di tempat kerja dijangka akan terus meningkat sekiranya pematuhan kepada langkah pencegahan tidak dipraktikkan oleh majikan terhadap pekerja mereka. Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan amalan pencegahan yang digariskan dalam SOP pembukaan ekonomi diamalkan sepenuhnya dalam membanteras kewujudan kluster baru.

"Besar harapan kerajaan terhadap warga pendidik sekalian agar dapat memainkan peranan dalam membantu mengurangkan jangkitan Covid-19 dengan memastikan anak-anak didikan mereka dapat mematuhi segala langkah pencegahan semasa berada di institusi pendidikan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS