Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan kartel: Hasil siasatan SIAP belum diperolehi

PARLIMEN | Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan tidak wujud gerakan ‘kartel’ dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana yang didedahkan bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebelum ini.

Menteri berkenaan Hamzah Zainudin berkata siasatan dalaman berhubung dakwaan itu telah dilakukan PDRM, dan bagi memastikan ketelusan, perkara itu turut dibawa kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk meneruskan siasatan.

“Ada dua siasatan berhubung perkara ini, dengan PDRM telah menjalankan siasatan dalaman dan mendapati tiada ‘kartel’ sebagaimana yang dinyatakan, serta siasatan kedua daripada SIAP yang bebas untuk jalankan siasatan tetapi belum dapat lagi (hasil siasatan),” katanya.

Hamzah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Hamid pada sidang media terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara pada April lepas menyatakan wujudnya kartel dalam pasukan keselamatan itu, selain cubaan untuk menjatuhkan beliau kerana lantang mendedahkan salah laku, integriti dan rasuah, dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan itu.

Sementara itu mengulas dakwaan akaun Twitter dan Telegram Edisi Siasat berhubung isu pembelian pangkat dalam PDRM, Hamzah berkata siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dari sudut tata tertib mendapati, isu itu juga tidak berlaku.

Beliau berkata semua urusan kenaikan pangkat dilaksanakan menerusi prosedur yang betul.

“Segala isu yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak akan diberikan penelitian yang sewajarnya berdasarkan laporan yang dibuat oleh pengadu, bagaimanapun mana-mana isu yang dibangkitkan tanpa butiran pengadu, tidak akan dilayan.

“Budaya fitnah atau membentuk persepsi buruk tanpa bertanggungjawab terhadap isu yang ditimbulkan merupakan satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab, tindakan akan diambil berdasarkan laporan polis bersandarkan kepada maklumat dan aduan sahih sahaja, dan bukan dalam bentuk surat layang sama ada secara fizikal atau digital,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS