Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik tidak berpuas hati dengan jawapan bertulis parlimen daripada Menteri Pendidikan Radzi Jidin berhubung program sarapan pagi percuma untuk murid sekolah rendah.
Terdahulu, Maszlee bertanya sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat untuk memperkenalkan semula program itu pada thaun depan.
Dalam jawapan bertulis bertarikh 15 November 2021, Radzi berkata kabinet dalam mesyuarat pada 15 Januari tahun lalu memutuskan untuk tidak meneruskan program itu.
Sebaliknya, kata Radzi, KPM akan meneruskan pelaksanaan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah (PSS).
"KPM yakin pelaksanaan RMT ketika ini dapat memberi impak positif kepada keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan sihat oleh murid sekolah rendah, khususnya murid B40," katanya.
Susulan itu, Maszlee hari ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap jawapan itu di Twitter hari ini.
"Soalan (berkenaan) apakah kerajaan hari ini bercadang untuk memperkenalkan semula PSP bagi tahun 2022 sebagai usaha pemulihan pasca wabak Covid-19.
"Yang Menteri Kanan Pendidikan ikut keputusan jamaah menteri kerajaan lama tahun 2020 sebelum Covid-19 ini apa cerita?" soalnya.
Maszlee berkata, RMT hanya menyasarkan murid dari keluarga B40, sedangkan program sarapan pagi percuma untuk semua murid.
"Buat rakyat Malaysia dan para guru, saya telah mencuba, saya telah perjuangkan. Malangnya KPM dan menterinya tidak berminat untuk melaksanakan PSP," katanya lagi.
Maszlee berulang kali membangkitkan isu berkenaan program itu di Dewan Rakyat tahun ini, ketika sesi soal jawab dan juga perbahasan.