Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon PH Lendu adukan ke polis wakil dilarang masuki pusat mengundi

PRN MELAKA | Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Lendu membuat laporan polis pagi ini untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan seorang pegawai pusat mengundi yang didakwa menghalang wakilnya daripada memantau proses pengundian awal hari ini.

Asri Ibrahim mendakwa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu memulakan proses pengundian tanpa kehadiran pemantau daripada pihaknya yang dihalang untuk berbuat demikian meskipun telah memberikan pas ejen pusat mengundi dan surat kuasa bagi mewakili calon.

Asri yang mewakili PKR berkata, wakilnya itu hanya dibenarkan masuk ke pusat mengundi - yang diadakan di Balai Polis Masjid Tanah - pada jam 10 pagi, iaitu dua jam selepas pengundian awal bermula.

"Ini satu pencabulan demokrasi di negara ini. Kita mahu pertandingan yang sihat dalam pilihan raya negeri ini," katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis tersebut.

Di Lendu Asri berdepan dengan pertandingan tiga penjuru menentang Abdullah Mahadi dari Perikatan Nasional (PN) dan penyandangnya Sulaiman Md Ali, yang juga bekas ketua menteri Melaka.

Calon PKR itu juga menyeru agar SPR berlaku adil dalam tugasnya.

“Kita tidak mahu SPR dijadikan alat oleh pihak tertentu untuk mereka terus berkuasa.

“Ini amaran saya. Saya percaya penting untuk SPR memandang serius perkara ini, kerana proses pengundian awal adalah sangat penting.

“Sebab kawan-kawan kita dalam polis dan angkatan tentera ada kesedaran (mereka boleh pilih), dan jika proses ini diganggu, mungkin ada penyelewengan atau sabotaj,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan pihak polis telah menerima laporan berhubung isu itu.

Dia memberitahu Malaysiakini pegawai penyiasat sedang meneliti kes itu dan berusaha untuk menentukan sama ada terdapat sebarang salah laku atau sebaliknya.

Kata Arshad, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 4(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu berkaitan pelanggaran tugas rasmi seorang pegawai pilihan raya.

Arshad juga memberitahu Malaysiakini, polis akan mengambil keterangan ketua pusat mengundi terbabit bagi membantu siastaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS